'Mohon maaf, saya lupus sebab sudah tercemar'

‘Mohon maaf, saya lupus sebab sudah tercemar’

LOKASI pembuangan beras dan barang dapur di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum yang sudah dibersihkan. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said memohon maaf berhubung isu pelupusan beras dan barangan dapur di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, di sini.

Katanya, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu itu dan menyesali perkara yang berlaku.

Kata beliau, beras dan barangan dapur berkenaan adalah stok simpanan yang disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

“Pada 5 April 2024, saya telah menerima aduan daripada jiran yang menyatakan terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapur tersebut.

“Hasil siasatan di stor simpanan ini mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk atau kutu beras.

“Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar untuk makanan manusia,” katanya dalam satu kenyataan.

ISMAIL MOHAMED SAID

Ismail berkata, barangan dapur itu disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022.

Katanya, umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

“Pembelian barangan dapur ini tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang. Ia juga tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh Covid-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir, ” katanya.

Menurutnya, sebahagian daripada barangan itu telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar serta sebahagian lagi dilupuskan.

“Saya mengambil tanggungjawab dan sangat menyesali perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengesahkan timbunan beras itu rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan.

Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan, rumusan itu hasil penemuan awal daripada siasatan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Temerloh yang turun ke lapangan.

Jelasnya, turut bersama hadir ke lokasi adalah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur-Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh.

“KPKM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini memandangkan perkara ini masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras, 1994 [Akta 522].

“Untuk makluman semua pihak, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah merujuk kepada KPB,” katanya semalam.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tempat pembuangan sampah tersebut sudah ditimbun tanah oleh pihak tertentu menggunakan jentera berat.

Tinjauan juga mendapati, sisa barang-barang yang ditinggalkan di situ ditimbus dengan tanah oleh pihak tertentu dengan menggunakan jentera berat bagi mengorek tanah dari tebing berdekatan sebelum menimbus dan meratakannnya.

Lokasi terbabit didapati sudah bersih apabila hampir seluruh tapak itu ditimbun dengan tanah baharu yang diangkut dengan jentera ke situ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya