PADANG BESAR: Pembangkang perlu mencermin diri dan tidak terlalu bermain politik untuk menghentam kerajaan sesuka hati berkaitan soal kos sara hidup memandangkan semasa mereka memerintah dua tahun lalu, harga barangan jauh lebih tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak pernah menafikan masalah kos sara hidup ketika ini dan sentiasa berusaha mengatasi masalah itu.
Katanya, semasa pembangkang mentadbir sebelum ini keadaan jauh lebih parah berbanding sekarang khususnya berkaitan harga minyak masak, ayam dan telur.
“Masalah kos sara hidup, ada orang kata kita nafikan, saya tidak pernah nafikan. Saya pergi ke bazar saya tahu, harga martabak antaranya ada masalah. Namun kita jangan nafikan, harga minyak masak antaranya lebih rendah sekarang dari dua tahun yang dulu, itu kenyataan.
“Orang nak main politik, kena cermin juga, jangan main pakai sedap cakap sahaja kecam kerajaan sekarang, padahal masa mereka mentadbir, keadaan lebih parah.
“Lihat harga ayam, telur ini, kita lakukan sedaya upaya di samping tanggungjawab kita menyelamatkan dana. Dulu subsidi siling ayam RM1 bilion setahun, harga ayam melambung naik, sekarang kita bagi amaran keras kepada kartel-kartel ini, jangan permainkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri ini di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar; barisan Exco kerajaan negeri serta ketua jabatan serta agensi kerajaan pusat dan negeri.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, hubungan antara Pusat dan negeri cukup akrab serta sangat baik.
“Saya selesa tidak ada masalah berbincang dengan Kerajaan Negeri Perlis ini. Perlis terpaksa bergantung dengan Pusat namun kita tidak ada masalah asalkan prinsip difahami dan dilaksanakan dengan baik,” katanya. – UTUSAN