ARAU: Ketika penjualan pakaian dan kelengkapan raya lain dilihat masih perlahan khususnya bazar-bazar Aidilfitri di negeri ini, berbeza pula dengan jualan mercun dan bunga api yang mendapat sambutan cukup hebat.
Malah, ada dalam kalangan peniaga mampu menjana hasil jualan RM600 sehingga RM800 sehari dan hasil jualan dijangka meningkat sehingga RM10,000 menjelang beberapa hari sebelum Aidilfitri khususnya ketika perantau sudah pulang ke kampung halaman di sini.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia, salah satu lokasi penjualan mercun dan bunga api yang paling menarik perhatian pengunjung antaranya di Pekan Lama Arau di sini dengan pelanggan dilihat memenuhi gerai berkenaan.
Pelanggan juga rata-rata dilihat membelanjakan antara RM50 ke RM100 bagi membeli pelbagai jenis pilihan mercun dan bunga api yang dijual di gerai berkenaan.
Peniaga di gerai mercun dan bunga api tersebut, Amin Mansor berkata, sejak mula beroperasi beberapa hari lalu, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.
Katanya, dia menjual kira-kira 36 item mercun dan bunga api yang diluluskan dengan harga dari serendah RM10 hingga RM60.
Ujarnya, selepas puluhan tahun diharamkan, orang ramai khususnya yang berkeluarga dilihat sangat teruja seperti zaman-zaman dahulu membeli mercun dan bunga api bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.
“Alhamdulilah, sejak beroperasi beberapa hari lalu sambutan diterima sangat menggalakkan dengan sehari jualan dari petang sehingga tengah malam, mencecah sehingga RM800 dan hasil jualan dijangka meningkat menjelang dua hari atau sehari sebelum Aidilfitri,” katanya.
Bermula tahun lalu, kerajaan menarik balik larangan pengharaman penjualan dan permainan mercun dan bunga api selepas lebih 25 tahun larangan berkenaan.
Seorang pelanggan, Hasmiza Othman,40, berkata, dia membelanjakan RM100 bagi membeli bunga api dan beberapa jenis mercun untuk dimain pada malam raya nanti.
“Antara mercun yang dibeli seperti Thunder Clap, mercun gasing, telur naga dan beberapa jenis bunga api untuk anak-anak. Harga yang dijual di gerai di sini juga agak berpatutan.
“Selepas kembali dibenarkan penjualan tahun lepas, saya tidak melepaskan peluang memberi mercun dan bunga api bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri seperti zaman kami kanak-kanak dahulu,” katanya.-UTUSAN