PETALING JAYA: Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) menyantuni lebih 400 keluarga di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Program itu adalah acara tahunan anjuran MASTI bagi menyantuni golongan yang memerlukan bantuan khususnya kumpulan B40.
Presidennya, Wan Mohd. Wazir Wan Abdul Wahab berkata, penganjuran Majlis Kasih Ramadan MASTI merupakan sebahagian daripada pengisian program kebajikan sempena Ihya’ Ramadan 2024.
“Alhamdulillah, penganjuran program kali ini berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM50,000 dengan kerjasama Universiti Malaya.
“Sumbangan dana yang diterima diagihkan kepada lebih 400 penerima yang terdiri daripada pelajar, golongan asnaf dan anak yatim,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Mohd. Wazir yang juga Presiden Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas (PERENTAS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, program itu juga sebagai usaha mewujudkan keharmonian selain merapatkan jurang ukhuwah dalam kalangan staf dan warga pelajar universiti.
“Program ini dapat memupuk nilai-nilai murni, kasih sayang dan kebajikan dalam kalangan komuniti universiti serta mengukuhkan lagi hubungan harmoni antara staf serta pelajar.
“Antara sumbangan yang diberikan adalah berupa wang tunai bagi memenuhi keperluan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kelak,” katanya.
Menurut beliau, kutipan dana yang diagihkan kali ini antara jumlah tertinggi sejak program seumpamanya dilaksanakan tujuh tahun lalu.
Katanya, kempen dilaksanakan saban tahun membuahkan hasil dan sekalung penghargaan kepada persatuan-persatuan dapat mengumpul dana seperti MASTI berjumlah RM10,900.
“Tidak lupa juga kepada Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UM (PEKERTI) berjumlah RM5,000 dan Kesatuan Kakitangan Am UM (KKAUM) turut memberikan sumbangan kepada anak-anak staf bernilai RM10,000,” katanya. – UTUSAN