PETALING JAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam tentera Israel yang disifatkan secara terang-terangan menyerang dan mencederakan beberapa konvoi bantuan kemanusiaan serta sukarelawan termasuk petugas bantuan Ops Ihsan di Rafah pada Jumaat lalu.
Kementerian Luar Negeri berkata, serangan terhadap pekerja kemanusiaan, sukarelawan dan individu tidak bersenjata yang menjalankan usaha bantuan sama sekali tidak boleh diterima.
Katanya, tindakan kejam oleh Israel tersebut mencerminkan kekejaman yang melampaui sebarang pemahaman dan justifikasi.
“Ia tidak lagi mencukupi untuk mengutuk tindakan kezaliman ini secara berlapik. Sudah tiba masanya bagi masyarakat antarabangsa bersatu dan menuntut agar Israel menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan bertanggungjawab ke atas jenayah mereka.
“Israel sebelum ini menuntut bahawa tindakan ini adalah langkah-langkah diperlukan untuk mempertahankan diri, tindakannya sejak Oktober tahun lalu jelas menunjukkan sebaliknya.
“Israel sangat jelas adalah pihak yang menyerang dan mengganas,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi.
Menurut kenyataan itu lagi, ketika rakyat Palestin sangat memerlukan bantuan tiba kepada mereka, rejim Israel secara berterusan mengenakan sekatan dan halangan untuk menyiksa golongan tua, pesakit, wanita dan kanak-kanak di wilayah tersebut.
“Ini adalah kali kedua operasi Ops Ihsan terganggu dan nyawa sukarelawan mereka dibahayakan tanpa sebab. Serangan pertama berlaku pada 14 Mac lalu mengambil nyawa lapan orang rakyat Palestin dan mencerakan lebih 20 yang lain,” katanya.
Semalam, media melaporkan beberapa sukarelawan Ops Ihsan tercedera selepas rejim Zionis mensasarkan kawasan di sekitar Rafah ketika mereka sedang memunggah bantuan daripada Malaysia.
Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, serangan pada 5.30 petang waktu tempatan itu juga nyaris memusnahkan pek makanan dari Malaysia.
“Makanan asas ini akan dihantar ke utara Gaza di mana tahap kebuluran meningkat susulan sekatan Israel ke atas bantuan kemanusiaan ke kawasan berkenaan,” katanya. – UTUSAN