PETALING JAYA: Malaysia Heritage Studios dan Hikayat Fandom menyempurnakan kolaborasi dalam usaha memupuk warisan kebudayaan, sejarah dan hikayat.
Untuk itu satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani dan dipersetujui oleh Dr Anir Syazwan Sharbirin mewakili WeGrow Edutainment dan Ketua Pegawai Operasi Hikayat Fandom, Rudy Daud.
Pengarang, pencerita rakyat, dan pengasas Hikayat Fandom, Ninot Aziz berkata: “Dengan mengintegrasi budaya dalam inisiatif pelancongan, kita boleh memastikan pembangunannya bersifat lestari, inklusif dan berdaya maju secara ekonomi, dan menghormati amalan kebudayaan dan kepercayaan.
“MoU yang dilaksanakan bersama Malaysia Heritage Studios ini menampilkan aspirasi dalam pada kita bekerjasama untuk meningkatkan pemahaman kebudayaan dan nuansanya dalam inisiatif pelancongan serta didik-hibur.”
Sementara itu, Dr. Anir Syazwan yang juga Ketua Pegawai Teknologi Wegrow Edutainment percaya dengan kolaborasi bersifat menang-menang ini kerana Hikayat Fandom mempunyai reputasi yang baik dalam kerjasama meningkatkan arisan, fokus untuk menghidupkan kembali cerita rakyat Asia dan juga Malaysia.
“Malaysia Heritage Studios merupakan platform yang baik untuk merealisasikan pengalaman warisan ini bagi semua pelancong sama ada pelancong tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.
“Sebagai pemain utama dalam industri pelancongan, kami amat mengalu-alukan mana-mana kehadiran syarikat tempatan yang mempunyai hala tuju dan visi yang sama dalam meningkatkan warisan negara kita yang kaya.
“Dalam hal ini, Hikayat Fandom mempunyai nada yang sama dan kami percaya bahawa Malaysia Studios dan Hikayat Fandom dapat berganding bahu ke arah menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan dipercayai.”
Malaysia Heritage Studios dengan sokongan Hikayat Fandom akan meneroka penciptaan kandungan menggunakan teknologi imersif dan pengalaman mengikut sesuatu tempat, fokusnya pada Hikayat dan Warisan Malaysia. – UTUSAN