Logo kasut mirip kalimah Allah: SKMM tegas ambil tindakan pihak ambil kesempatan

Logo kasut mirip kalimah Allah: SKMM tegas ambil tindakan pihak ambil kesempatan

mcmc
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA (SKMM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap isu logo kasut jenama Vern’s yang didakwa mirip kalimah Allah.

SKMM dalam kenyataan berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas alasan membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas yang boleh mencetus ketegangan antara kaum. 

“Semua pihak perlu memberi ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan ini. 

“SKMM menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat di media sosial melibatkan logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah untuk melaporkannya kepada pihak polis,” katanya hari ini. 

Semalam, Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi terlebih dahulu membuat kenyataan di media sosial mengecam jenama kasut tempatan Vern’s susulan bentuk logo seakan kalimah Allah di salah satu tapak kasutnya. 

Katanya, isu itu amat mendukacitakan dan tidak sepatutnya berlaku. 

“Sebagai jenama tempatan, sepatutnya mereka lebih peka dan sensitif ke atas perkara yang melibatkan kesucian agama, terutamanya agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang sebelum ini lantang menyuarakan isu stoking tertera kalimah Allah turut memberi masa kepada pengurusan Vern’s Holding Sdn. Bhd. untuk membuat penjelasan berhubung dakwaan tersebut. 

Vern’s Holding kemudian memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya, namun tidak berniat menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan memperlekeh atau menghina agama dan kepercayaan.

Katanya, logo itu 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan kasut tumit tinggi seperti tertera pada gambar yang dilampirkan.

Bagaimanapun, pihaknya mengakui terdapat kekurangan pada rekaan logo itu yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.

Sehubungan itu, syarikat itu mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang membeli barangan itu.

Tidak jadi marah, Muhamad Akmal kemudian berkata, maklum balas segera daripada pengurusan Vern’s Holding adalah wajar selain sikap profesional syarikat itu memberi penjelasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN