TEMERLOH: Lebih 200 ahli keluarga dan saudara mara penyanyi nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad meneruskan tradisi bertahlil di pusaranya di Kampung Chengal, Temerloh, hari ini.
Penyanyi rakyat bertaraf lagenda seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu dengan lagu malar segar Merisik Khabar dan Salam Terakhir bukan sahaja terkesan kepada ahli keluarganya malah para peminat yang tetap mengingati tarikh kematiannya pada 22 Februari 1992.
Lagu evergreen Merisik Khabar, Pelangi Petang, Salam Terakhir, Milik Siapakah Gadis ini, Warisan , Ayah dan Ibu, Terasing, Anak Gembala dan banyak lagi sangat puitis dan penuh makna.
Kakak sulung Allahyarham, Datin Rodziah berkata, adik-beradik menetapkan hari raya kedua setiap tahun untuk pulang ke Temerloh bertahlil di pusara Sudirman sebagai tanda kasih sayang yang tidak pernah pudar malah semakin membara setiap kali Hari Raya Aidilfitri.
“Adik beradik kami dan keluarga masing-masing seboleh-bolehnya akan balik kampung ke Temerloh pada hari kedua raya,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Menurutnya, kematian Sudirman yang merupakan seorang peguam dalam usia muda memberi kesan mendalam terhadap ahli keluarga dan peminat tegar yang masih mendambakan keletah, bicara, kemerduan suara dan semangat patriotiknya.
Sementara itu, saudara terdekat, Nor Sakinah Mohd. Kharulnizam, 22, berkata, Allahyarham Sudirman bagaikan hidup kembali pada akhir bulan Ramadan dengan lagu hari rayanya, Balik Kampung.
“Kami di Kampung Cengal memang menanti kepulangan adik-beradik dan sanak-saudara Sudirman di rantau setiap hari kedua Syawal.
“Keluarga besar kami berkumpul beramai-ramai di pusara Sudirman membaca doa selamat, tahlil dan Yasin buat insan tersayang itu,” katanya. – UTUSAN