PADANG RENGAS: Pemasangan pelita panjut gergasi di Kampung Ribu di sini semalam, berjaya menarik perhatian ramai apabila lebih 1,000 menyaksikan tradisi itu.
Tradisi itu mula dianjurkan sejak beberapa tahun lalu setiap kali menjelang Aidilfitri yang diadakan pada malam ke-27 Ramadan.
Apa yang menarik, program itu dibuat secara besar-besaran dan berjaya menarik kehadiran masyarakat di sekitar Padang Rengas dan Kuala Kangsar untuk menyaksikan keindahan tradisi memasang panjut.
Pengerusi Persatuan Panjut Kampung Ribu, Amiruddin Mohd. Lazim berkata, bagi pemasangan panjut kali ini, sebanyak 2,000 pelita disediakan dengan panjut berbentuk Masjid Sendayan di Negeri Sembilan setinggi sembilan meter dan 15 meter lebar.
Menurutnya, pihaknya mula membuat panjut gergasi itu kira-kira dua minggu sebelum bulan Ramadan dan kerja-kerja menyiapkannya dilakukan 20 orang penduduk.
“Binaan panjut gergasi ini menggunakan hampir 300 batang buluh, daripada jumlah itu 32 dijadikan tiang menara, 64 gelegar sepanjang satu meter setiap satu manakala rangkanya diperbuat daripada kayu.
“Pembinaannya melibatkan kos kira-kira RM5,000 daripada tabungan, kutipan derma awam dan sumbangan pemimpin setempat.
“Kami terkejut melihat sambutan program malam ini yang dihadiri begitu ramai penduduk yang saya percaya ada yang datang dari luar daerah ini,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Rawang, Selangor, Abdul Rahman Hamzah sanggup menyewa inap desa di kampung itu bersama keluarganya semata-mata untuk menyaksikan program tersebut.
Katanya, program itu mengembalikan nostalgia suasana di kampung yang diterangi cahaya pelita panjut pada bulan puasa.
“Menyaksikan panjut gergasi dan panjut yang dipasang penduduk di kampung ini merupakan satu pengalaman yang menggembirakan terutama bagi anak-anak yang tidak pernah melihat kemeriahan memasang pelita panjut seperti ini.
“Saya berharap tradisi ini terus diadakan kerana berdasarkan sambutan pada malam ini, ramai yang mahu melihat tradisi ini terus dihidupkan,” katanya. – UTUSAN