KUALA LUMPUR : Penyanyi, Datuk Aishah Ariffin, 60, mengakui tahun ini ada kelainan pada sambutan hari rayanya setelah sekian lama tidak pulang ke kampung halaman di Negeri Sembilan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Aishah berkata, dia berasa teruja untuk pulang menyambut lebaran bersama sepupu dan keluarga memandangkan dia juga tidak lagi mempunyai ibu bapa untuk berhari raya bersama.
“Tahun ini rasanya raya agak meriah juga sebab dapat balik kampung dengan anak-anak di Negeri Sembilan. Saya ini sebenarnya jarang dapat beraya di sana.
“Satu daripada sebabnya, anak-anak jarang dapat cuti. Jadi itulah sebab saya terpaksa berata di Kuala Lumpur sahaja sebelum ini.
“Kalau diikutkan, saya sendiri dah tak ingat bila kali terakhir dapat menyambut lebaran di kampung,”katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.
Selain itu, tambah Aishah, dia juga tidak sanggup memandu dan meredah kesesakan jalan raya sewaktu musim perayaan.
Berikutan itu, katanya, dia perlu bergantung harap pada kesesuaian masa anak-anaknya.
“Walaupun orang kata Negeri Sembilan itu dekat sahaja dengan Kuala Lumpur, tetapi kalau musim perayaan, jalan raya tetap sesak. Saya tak sanggup juga nak memandu.
“Jadi memang kena tunggu anak-anak dapat cuti baru dapat balik kampung. Tahun ini pula keluarga sepupu di sana beriya-iya ajak beraya sekali, jadi kita pun baliklah.
“Saya pun tinggal seorang sahaja, ibu ayah dan adik-beradik lain dah meninggal dunia. Yang ada cuma sepupu rapat, jadi kita berkumpullah dengan yang mana masih ada,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Aishah berkata, dia juga bakal tampil dengan projek khas rakaman lagu-lagu lama yang pernah menjadi hits suatu ketika dahulu.
Katanya, projek tersebut masih dalam rangka susunan namun dua buah lagu lama telah berjaya dirakamkan semula olehnya sebagai tanda pengenalan.
“Dua buah lagu ini akan jadi seakan ‘teaser’ untuk pendengar. Lepas itu kita tengok macam mana. Kalau boleh saya nak sekurang-kurangnya boleh hasilkan album mini.
“Saya tak boleh kongsikan lagi secara terperinci mengenai perkara ini tetapi apa yang boleh dikatakan, ada antaranya adalah lagu-lagu berentak kemelayuan,”katanya.