PHANG NGA, THAILAND: Konsep Ukhuwah Islamiyah tidak seharusnya diabaikan dan dilupakan oleh setiap pihak berikutan ia memiliki banyak kepentingan tersendiri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kepentingan Ukhuwah Islamiyyah iaitu persaudaraan sesama Islam dapat mewujudkan perasaan saling menghormati, percaya, mahabbah dan kasih sayang antara satu sama lain.
Titah baginda, konsep ini juga merupakan satu bentuk perpaduan antara masyarakat Islam yang tulus dan ikhlas dalam mengukuhkan ikatan persaudaraan.
“Ukhuwah Islamiyah amat penting kerana konsep mencintai saudara sesama Islam menggambarkan kita mencintai diri kita sendiri.
“Sesungguhnya, kesempurnaan iman seseorang tidak hanya sekadar beriman kepada ALLAH SWT dan hari akhirat semata, bahkan menjaga hubungan sesama mukmim juga menjadi kayu pengukur terhadap kesempurnaan iman seseorang,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian sewaktu berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Program Ziarah Mahabbah Tahun 2024 di Fahad Wittayathan School, di sini, hari ini.
Turut berangkat pada majlis pelancaran itu adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Penasihat Undang-Undang negeri, Radhi Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Terdahulu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle turut berkesempatan menyampaikan Forum Ummah Wahidah kepada tetamu yang hadir.
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyerahkan Sumbangan Fi Sabilillah berjumlah RM20,000 bagi peralatan tadika di sekolah berkenaan dan pemberian bantuan kepada 50 orang pelajar bernilai RM200 setiap seorang.
Di samping itu, baginda juga berkenan menyampurnakan Pelancaran Program Pembelajaran Bahasa Melayu (Ujana Bahasa Melayu) dan penyampaian buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada Fahad Wottayathan School.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, al- Quran juga secara jelas menyatakan tentang Ukhuwah Islamiyah dan cara mewujudkan kasih sayang antara manusia serta sesama Islam.
“Contohnya, dalam bersangka baik sesama saudara Islam dan sebagai umat Islam, kita perlulah cakna dengan mengambil berat tentang pentingnya Ukhuwah Islamiyah ini dalam usaha memelihara ukhuwah sesama saudara Islam,” titah baginda.-UTUSAN