SEPANG: Suspek insiden tembakan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam pernah direman sebelum ini namun kemudiannya dilepaskan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah tersebut disebabkan kertas siasatan perlu dilengkapkan sebelum tindakan susulan oleh pihak pendakwa raya.
“Dia pernah ditahan reman selama tiga hari pada awal tahun ini tetapi siasatan belum lengkap bagi pendakwaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA.
Awal pagi semalam, seorang lelaki nekad cuba menembak isterinya dari jarak dekat di balai ketibaan Terminal 1 KLIA namun tersasar dan mengenai pengawal peribadi mangsa.
Suspek, Hafizul Harawi, 38, berjaya melarikan dirinya dengan sebuah kereta dan kes itu disiasat pihak polis mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Lelaki bersenjatakan pistol semi automatik itu pernah memiliki beberapa rekod jenayah termasuklah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
Mengulas lanjut, Hussein menambah bahawa kes suspek berkenaan di bawah Seksyen 506 iaitu ugutan jenayah masih lagi berlangsung dan kertas siasatan tidak pernah pun ditutup.
“Pada masa itu, kita tidak nampak pula ada sebarang ancaman begitu besar dan kes ini disifatkan sebagai cuma masalah rumah tangga antara suspek dengan mangsa,” jelasnya.
Ditanya kenapa pihak polis tidak mengambil tindakan interim untuk memisahkan suspek daripada bertemu mangsa, beliau menambah, proses tersebut ada banyak lagi peringkat.
Apatah lagi ujar beliau, keterangan untuk pertuduhan kes itu belum cukup lengkap bagi membolehkan pihak polis bertindak mendapatkan perintah interim dari hakim mahkamah.
Justeru tegasnya, pihak polis tidak boleh melakukan sebarang tindakan sesuka hati ke atas suspek kerana proses penyiasatan kes sebelum ini perlu melepasi banyak prosedur ketat.
Walau bagaimanapun kata beliau, perkembangan terbaharu semalam menyaksikan Hafizul turut berdepan pelbagai lagi pertuduhan antaranya Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.
Menyentuh isu kenderaan suspek untuk melarikan diri, Hussein berkata, perkara itu tidak dapat didedahkan kerana dibimbangi boleh menjejaskan usaha pemburuan di lapangan.
“Status dia sekarang amat berbahaya dan kita sudah menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki suspek dengan kerjasama beberapa polis kontinjen negeri-negeri,” jelasnya. – UTUSAN