Kerajaan negeri perlu tingkatkan momentum pelaksanaan TMPs - Raja Perlis - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri perlu tingkatkan momentum pelaksanaan TMPs – Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (duduk belakang, kiri) membacakan titah ucapan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sewaktu Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke 15 di Kompleks DUN, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri perlu meningkatkan lagi momentum pelaksanaan Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs) susulan trend pertambahan pelancong ke Perlis sejak kebelakangan ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, setelah empat bulan pelaksanaan TMPs, maklum balas diterima daripada pelancong sama ada dari dalam atau luar negara adalah sangat positif dan memberangsangkan.

Titah baginda, oleh itu, momentum penganjuran TMPs perlu ditingkatkan lagi dan tambahan pula negeri ini juga turut menerima pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan pada 9 November tahun lalu.

“Beta dimaklumkan bahawa Perlis merupakan satu-satunya geopark yang melibatkan sebuah negeri dan mempunyai 23 geotapak yang mana tiga daripadanya bertaraf antarabangsa, 14 bertaraf kebangsaan dan enam bertaraf tempatan, di samping lapan biotapak dan 12 tapak budaya,” titah baginda.

Titah ucapan baginda itu dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke 15 di Kompleks DUN di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, hasrat kerajaan negeri bagi mewujudkan Pusat Biodiversiti Perlis juga adalah amat dialu-alukan susulan kekayaan khazanah bumi dan alam semulajadi di sini.

“Beta yakin dengan adanya Pusat Biodiversiti ini, ia akan dapat mengukuhkan lagi usaha pemeliharaan sumber biodiversiti di Perlis,” titah baginda.

Seterusnya, Tuanku Syed Sirajuddin berharap agar kerajaan negeri dapat mengambil langkah untuk meneroka peluang pelaburan baharu dalam bidang berteknologi tinggi yang boleh memberikan impak besar terhadap ekonomi di Perlis.

Titah baginda, kerajaan negeri juga seharusnya komited dalam menawarkan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian buat kemudahan rakyat.

“Dalam hubungan ini juga, beta mengambil maklum bahawa kerajaan negeri sedang menyediakan Blueprint dan Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Perlis.

“Beta percaya, apabila hasrat Bandar Pintar Negeri Perlis dapat direalisasikan, ia akan meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menyediakan kaedah bagi mengatasi cabaran perbandaran melalui penyelesaian smart nation serta penggunaan teknologi,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya