GUA MUSANG: Jumlah kenderaan milik anak-anak Kelantan di perantauan yang masuk ke negeri ini semakin bertambah berbaki dua hari lagi menyambut Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Malaysia di jalan Kuala Lipis-Gua Musang, Gua Musang-Kuala Krai semalam mendapati berlaku kesesakan namun masih terkawal.
Seorang perantau, Muhamad Norsyahidan Azim Muhamad Zaid, 33, berkata, dia yang tinggal di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur melalui perjalanan yang sangat lama untuk pulang ke kampung kali ini.
Menurutnya, dia bertolak pada pukul 2 pagi tadi dan sampai kira-kira pukul 12 tengah hari di Bandar Gua Musang.
“Perjalanan dari Kuala Lumpur nak sampai ke negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini sukar kerana mengalami perjalanan melebihi 10 jam.
“Ada tiga tempat yang sangat teruk iaitu dari arah Karak ke Bentong, Benta dan Merapoh ke Gua Musang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Muhamad Norsyahidan Azim memberitahu, dalam perjalanan yang panjang menguji mental dan fizikalnya yang sedang berpuasa dia bersama isteri dan seorang anaknya reda kerana bersemangat serta tidak sabar ingin bertemu keluarga di Kota Bharu.
Seorang lagi pengguna, Nur Zahirah Azizi, 35, berkata, kenderaan memasuki Gua Musang semakin bertambah namun keadaan trafik masih terkawal.
Katanya, dia sekeluarga tidak kisah berdepan kesesakan lalu lintas demi balik beraya bersama ahli keluarga. – UTUSAN