Kenal pasti segera punca kemalangan helikopter - Ikmal Hisham - Utusan Malaysia

Kenal pasti segera punca kemalangan helikopter – Ikmal Hisham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan terhadap nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dekat pangkalannya di Lumut, Manjung perlu disegerakan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Gesaan tersebut adalah untuk menilai kepentingan kesiapsiagaan aset pertahanan milik TLDM.

Ketua Biro Portfolio Pertahanan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, susulan nahas tersebut wujud kebimbangan terhadap kemampuan pesawat jenis AW139.

“Tambahan pula pesawat yang terlibat relatifnya baharu iaitu jenis AS 555 SN (Fennec) (tidak pernah mengalami sebarang kemalangan sejak digunakan bermula tahun 2004). 

“Manakala AW 139 (HOM) adalah jenis model yang sama (milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) terlibat dalam kemalangan pada 5 Mac 2024 di Perairan Pulau Angsa, Klang dan pada 27 Februari 2020 di Tawau (milik Polis Diraja Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Ahli Parlimen Tanah Merah itu menyambut baik tindakan pantas TLDM menubuhkan Lembaga Siasatan Kemalangan Udara bagi menyiasat kemalangan tersebut.

“Saya yakin terhadap ketelusan dan keupayaan lembaga siasatan itu dalam mengenalpasti punca kejadian malang tersebut.

“Saya amat berharap punca sebenar kemalangan udara ini dapat dikenalpasti dengan seberapa segera mengambil kira kepentingan kesiagaan aset pertahanan milik TLDM,” jelasnya.

Terdahulu, 10 anggota TLDM terkorban selepas dua helikopter dinaiki mereka bertembung ketika menjalani raptai sambutan Hari Ulang Tahun dan Perbarisan TLDM ke-90 di Lumut.

Menerusi satu kenyataan TLDM memaklumkan, insiden tersebut melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM dengan sesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Ikmal Hisham menjelaskan kekerapan kemalangan insiden pesawat jenis AW139 amat merisaukannya sebagai pemerhati luar.

“Bagaimanapun saya tidak berhasrat membuat sebarang spekulasi sebaliknya tetap sabar menanti hasil siasatan lembaga siasatan yang ditubuhkan oleh TLDM.

“Sekali lagi saya mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga 10 mangsa anggota TLDM yang terlibat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka yang terkorban dalam peristiwa kemalangan itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya