Kemarau: Ikan, udang galah 'pulang' ke lubuk

Kemarau: Ikan, udang galah ‘pulang’ ke lubuk

LOKMAN Abdullah menunjukkan empat ekor udang galah bersaiz besar yang ditangkap di sungai berdekatan Kuala Tembeling di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Fenomena ikan sungai termasuk spesies udang galah ‘pulang’ ke lubuk di muara Sungai Tembeling di sini, memberi rezeki bukan sahaja kepada penduduk setempat malah perantau yang pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kuala Tembeling, Sabri Abdullah, 55, berkata, ikan sungai ‘pulang’ ke habitat asal iaitu lubuk di situ kerana air Sungai Tembeling menjadi cetek berikutan musim kemarau sejak awal Mac lalu.

“Fenomena ribuan ikan liar berkumpul di sini kerana terdapat lubuk di muara Sungai Tembeling yang bercantum dengan Sungai Jelai, Lipis.

“Lazimnya, musim kemarau setiap tahun kawasan lubuk ini menjadi tumpuan ramai penduduk Kuala Tembeling dan kampung berdekatan keluar beramai menangkap ikan liar di sini,” katanya di sini semalam.

Menurut Sabri, antara spesies ikan liar yang berkumpul di lubuk di muara Sungai Tembeling ialah lampam, kerai, baung, belida, patin, toman dan udang galah.

“Saya turut bersama penduduk dan perantau turun ke lubuk berdekatan Kuala Tembeling dan tidak sia-sia kerana dapat menangkap seekor ikan belida seberat empat kilogram dengan menggunakan jala,” katanya.

Sementara itu, perantau dari Kuala Lumpur, Lokman Abdullah, 40, berkata, kebiasaannya musim kemarau bagaikan pesta apabila penduduk Kuala Tembeling turun beramai-ramai di lubuk berdekatan muara Sungai Tembeling dan Sungai Lipis untuk menangkap ikan di situ.

“Kebetulan musim kemarau tahun ini bertepatan pula dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, bermakna ramai anak perantau kampung ini berkesempatan menangkap ikan bersama keluarga masing-masing sehingga suasana bertukar menjadi meriah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya