Keenakan laksa kari terbaik taruhan Meet & Dine - Utusan Malaysia

Keenakan laksa kari terbaik taruhan Meet & Dine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH banyak restoran yang mengakui bahawa mereka antara tempat terbaik untuk menikmati pelbagai hidangan sama ada masakan Barat atau tempatan.

Sejauh mana kebenaran di sebalik pengakuan tersebut, ia tidak dapat dipastikan. Apa yang pasti, keenakan hidangan di restoran Meet & Dine terutamanya laksa kari sememangnya tidak boleh disangkal.

Malah saya boleh katakan, ini antara menu yang wajib dicuba di restoran Meet & Dine dan tidak lengkap sekiranya anda datang ke sini tanpa menikmatinya.

Dengan rasa lemak dan tidak terlalu masin, laksa kari turut ini didatangkan bersama cili untuk mereka yang sukakan rasa pedas.

Selain itu, laksa ini ‘kaya’ tidak hanya mengandungi mihun atau tauhu kering semata-mata.

Sebaliknya ia mewah dengan bahan lain seperti udang, terung dan isi ayam. Untuk menu yang berharga RM28, ia sangat berbaloi lebih-lebih lagi dengan saiz hidangan yang besar.

Di samping laksa kari, mereka yang mahu menikmati makanan Barat pula boleh mencuba lamb ribs iaitu tulang rusuk kambing yang dipanggang.

Menu ini didatangkan khas bersama kentang putar, sos chimichurri, sos barbeku, salad dan keledek goreng dengan berharga RM108.

Rusuk kambing yang dipanggang ini mempunyai kelembutan daging tersendiri dan tidak kering. Kemanisannya boleh dirasai pada setiap gigitan.

Saya percaya, ia diperap dengan menggunakan rempah dan bahan tersendiri untuk menghasilkan keenakannya.

Pelanggan yang datang ke restoran ini juga mempunyai pilihan lain untuk menikmati hidangan daging iaitu grilled angus rib eye steak.

Sekiranya pengunjung mahu menikmati menu berasaskan ayam, crispy chicken steak antara yang boleh dicuba di sini.

Jujur saya katakan, keranggupan ayam di sini jauh lebih baik berbanding di restoran jenama makanan segera yang ada dengan dihidangan dalam saiz besar.

Apa yang penting, hidangan berharga RM35 ini mengikut nutrisi lengkap dan seimbang dengan didatangkan bersama kacang hijau, kentang goreng dan sos bawang putih.

Dalam pada itu, Pengurus restoran, Nashrul Afiq berkata, restoran yang terletak di Pusat Perniagaan Budiman, Sungai Long Cheras ini dibuka dari pukul 10 pagi sehingga 11 malam dari Isnin hingga Khamis.

“Untuk Jumaat sehingga Ahad pula ia dibuka dari pukul 8 pagi sehingga 11 malam.

“Restoran ini juga mempunyai ruang khas untuk mengadakan majlis tertentu selain kemudahan tempat letak kereta secara percuma,” jelasnya.

Meet & Dine
Terletak di Pusat Perniagaan Budiman, Sungai Long Cheras
Menawarkan pelbagai hidangan barat dan tempatan
Dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi sehingga 11 malam (Isnin -Khamis), manakala 8 pagi sehingga 11 malam (Jumaat-Ahad).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN