PETALING JAYA: Kerajaan digesa untuk memaksimumkan Labuan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir dan Hab Kewangan Islam Malaysia.
Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, sejak pengisytiharan Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai pada 1 September 1956, Labuan mencatatkan 7.2 peratus kadar pengangguran, jauh lebih tinggi daripada paras pengangguran nasional yang berada pada kadar tiga peratus.
“Berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying sendiri, Labuan (Labuan IBFC) telah menyumbang lebih RM 1 billion kepada pendapatan negara pada tahun 2022.
“Ini merupakan kutipan hasil tertinggi sejak tahun 1990 selain menyumbang lebih 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Labuan yang mencecah RM5 billion pada 2019 sehingga 2020,” katanya semasa sesi perbahasan Dewan Negara hari ini.
Katanya melalui pencapaian yang diperoleh Labuan, keadaan di sana masih lagi daif dari pelbagai aspek termasuk isu air, elektrik, darjah ketersampaian dan sebagainya.
“Malah sumber air Labuan sendiri pun daripada Sabah yang disalurkan melalui 47 kilometer paip bawah tanah yang usang. Sudah tiba masanya untuk Labuan mempunyai sumber dan loji air sendiri,” jelasnya.
Menurutnya, itu belum termasuk kos kehidupan seharian yang tinggi di Labuan dengan harga telur Gred B sepapan mencecah RM22 sedangkan di Kuala Lumpur baru RM 18.
Menurutnya, pihak pelabur akan menggunakan Labuan sebagai cara untuk lari daripada cukai dan memohon untuk menyokong Rang Undang Undang (RUU) melibatkan Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan.
Beliau berkata demikian semasa membincangkan RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024 yang bertujuan meminda Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (Akta 445), yang melibatkan dua fasal.
Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan, manakala fasal 2 bertujuan untuk meminda subseksyen 22DA(6) Akta 445 untuk menghendaki penyedia platform perdagangan elektronik untuk mengeluarkan invois bil kendiri mengikut syarat dan spesifikasi sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah. – UTUSAN