PUTRAJAYA: Tidak sampai 24 jam menerbitkan kenyataan permohonan maaf, pengasas Vern’s Holdinga Sdn. Bhd. (Vern’s) hari ini turut tampil julung kali dengan melakukan perkara sama.
Ketika ditemui pemberita di sini, Ng Chuan Hoo menzahirkan permintaan maaf itu secara terbuka kepada umat Islam ekoran isu kalimah Allah di tapak kasut wanita milik jenamanya.
“Walaupun mungkin berlaku salah faham, tetapi saya memahami telah menyakitkan dan tidak menggembirakan masyarakat Islam, maka saya mohon maaf atas isu ini,” katanya.
Terdahulu, Chuan Hoo hadir seorang diri ke Blok A, Kompleks Islam Putrajaya kira-kira pukul 11 pagi, bertemu beberapa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengarahkan Jakim segera memanggil pengurusan syarikat berkenaan.
Langkah itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut susulan tular menerusi media sosial yang memaparkan logo mirip kalimah Allah di bahagian tapak kasut jenama tempatan tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain malahan mengesahkan lebih 1,000 pasang kasut berkenaan disita di beberapa negeri dan memanggil syarikat itu bagi siasatan lanjut.
Vern’s yang ditubuhkan pada 2009 dan beribu pejabat di Subang Jaya, Selangor, terkenal dalam memasarkan pelbagai jenis produk wanita di lebih 60 premisnya di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Chuan Hoo menambah, beliau berasa terharu malahan berterima kasih kepada Jakim yang melayan dirinya dengan baik serta banyak memberikan tunjuk ajar.
“Langkah berikutnya pula, saya sedia bekerjasama termasuk membantu siasatan pihak polis dan memberikan jaminan akan lebih sensitif serta berhati-hati selepas ini,” jelasnya.
Beliau yang juga mesra disapa sebagai Ah Foo, namun tidak menyatakan secara terperinci apakah perbincangan yang berlangsung selama lebih sejam ketika bertemu Jakim.
Ditanya sama ada Jakim mengarahkan produk tersebut ditarik balik, jelasnya, secara kebetulan ketika isu ini meletus, beliau sendiri mengarahkan kasut itu segera tidak dijual.
Ujarnya lagi, mujur bekalan bagi model berkenaan sebenarnya tidak banyak ada di pasaran dengan setiap cawangan jualan Vern’s hanya menerima lima atau enam pasang.
“Langkah pertama sejurus dapat tahu isu ini, saya terus arah pekedai simpan semua stok yang ada agar tidak dipamerkan kerana kita hormat sensitiviti pengguna Muslim,” katanya.
Bahkan beliau memahami kemarahan umat Islam kerana isu itu pula berlaku tidak lama selepas kes tular stoking tertera kalimah Allah dijual di beberapa kedai serbaneka KK Mart. – UTUSAN