MELAKA: “Saya tak pernah menang cabutan bertuah dengan hadiah sebuah kereta,” kata Norshaidatul Akma Borhan, 37, dari Kampung Pengkalan Batu di sini.
Anak kedua dari empat beradik itu diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah Glam Bazar Ramadan Klebang sekali gus membawa pulang hadiah utama Perodua Axia bernilai hampir RM21,000.
Katanya, dia berbelanja hampir RM500 membeli pakaian raya seminggu yang lalu dan menerima lima tiket bertuah.
“Mulanya malas nak isi butiran diri pada tiket bertuah tetapi atas desakan rakan saya isi juga dan masukkan ke dalam tabung yang disediakan.
“Saya langsung tak fikir nak menang atau letak harapan tinggi nak menang kereta atau motosikal yang ditawarkan sebagai hadiah.
“Mujurlah saya datang pada cabutan bertuah hendak dibuat pada Sabtu dan sangat mengejutkan apabila dihubungi saya menang Perodua Axia,” ujarnya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh malam tadi.
Norshaidatul Akma yang masih bujang berkata, dia tidak bercadang untuk menjual kereta yang dimenanginya walaupun mempunyai Proton Saga BLM.
“Sambutan Hari Raya Aidilfitri paling bermakna buat saya rezeki datang menggolek,” katanya yang bekerja sebagai ejen insuran.
Jelasnya, dia tidak mungkin menggunakan kereta baharu dimenanginya kerana urusan cukai jalan dan insuran hanya dapat diselesaikan selepas Aidilfitri. – UTUSAN