SETIAP selebriti Korea Selatan merekodkan perjalanan hidup berbeza-beza. Ada dalam kalangan mereka yang dibesarkan dalam keluarga kaya raya, menerima pendidikan yang mencukupi dan hidup senang sejak dilahirkan ke dunia.
Ada juga antara selebriti K-Pop berpengaruh hari ini yang dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan, dibelenggu kemiskinan sehingga terpaksa mengikat perut untuk makan dan hidup merempat.
Namun mereka telah membuktikan mampu membawa keluar diri serta keluarga daripada terus dibelenggu kemiskinan dan kini bergelar jutawan. Berikut kami senaraikan empat idola yang pernah miskin dan hidup susah.
TAE YANG
TAE Yang dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan dengan ibu bapanya menanggung masalah kewangan sehingga tidak mampu memberikan keselesaan buat penyanyi ini serta adik beradiknya yang lain.
Pada umur 13 tahun, Idol yang kini berusia 35 tahun ini terpaksa berpindah keluar dari rumah dan berhijrah Seoul untuk mencari pekerjaan bagi mengurangkan beban yang ditanggung keluarganya.
V (BTS)
KIM Tae-Hyung atau V dilahirkan dan membesar dalam keluarga petani di sebuah perkampungan dekat Daegu, Korea Selatan.
Disebabkan kemiskinan, ibu bapanya bekerja keras mencari pendapatan, sehingga terpaksa meletakkan V di bawah jagaan neneknya.
Idol berusia 28 tahun ini sebelum ini tidak pernah mengimpikan untuk menjadi bintang popular, sebaliknya hanya bercita-cita menjadi petani seperti ibu bapanya.
IU
ANAK kelahiran Seoul, Korea Selatan ini ketika zaman kecil sehingga remajanya terpaksa membesar di bawah jagaan neneknya disebabkan masalah hutang yang ditanggung kedua ibu bapanya.
IU atau nama sebenarnya Lee Ji-eun sebelum ini pernah menceritakan kesusahan yang dilalui kerana neneknya juga bukan dalam kalangan golongan berada dan terpaksa tinggal di sebuah rumah buruk yang dipenuhi serangga perosak seperti lipas.
Penyanyi ini dan adiknya selepas itu terpaksa berpindah dan tinggal bersama saudaranya yang juga menetap di Seoul. Beliau mendedahkan pernah hampir setiap hari berpura-pura tidur bagi mengelakkan herdikan oleh saudaranya yang ‘kaki botol’.
SANDARA PARK
GARA-GARA beban kewangan yang ditanggung keluarga, Sandara, ketika zaman kanak-kanaknya terpaksa berpindah ke Filipina.
Lebih menyedihkan apabila bapanya, yang berkahwin dua, bertindak mengabaikan Sandara dan mencuri kesemua wang simpanan keluarga.
Kesulitan tersebut memberi motivasi kepada anak kelahiran Busan itu untuk menjadi penyanyi dan pelakon yang berjaya di Filipina sebelum menganggotai kumpulan 2NE1 dan pulang semula ke Korea Selatan.