Jualan daging lembu raya Jamal Abdillah dapat sambutan

Jualan daging lembu raya Jamal Abdillah dapat sambutan

JAMAL Abdillah (kiri) pada program jualan daging lembu raya pada harga Rahmah di pekarangan bangunan MBI di Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jualan daging lembu pada harga Rahmah sempena Aidilfitri oleh penyanyi Datuk Jamal Abdillah di pekarangan bangunan MBI di sini semalam mendapat sambutan di luar jangkaan.

Daripada 10 ekor lembu yang disembelih dengan berat anggaran 1,000 kilogram daging, semuanya habis dijual dalam masa tidak sampai dua jam pagi tadi.

Ini menyebabkan penyanyi itu menambah sembelihan lima ekor lembu lagi untuk dijual pada petang.

Jamal, 64, berkata, beliau tidak menyangka jualan daging lembu raya pada harga Rahmah yang dijalankan beliau dengan kerjasama Perak SADC itu mendapat sambutan sedemikian

Menurutnya, ini kerana sepatutnya jualan hari ini bermula pada pukul 9 pagi tetapi memandangkan sudah ramai pelanggan yang datang di lokasi jualan seawal pukul 8 pagi, jualan diawalkan.

“Tidak sampai dua jam, jualan daging sebanyak kira-kira 1,000 kilogram habis terjual. Ini menyebabkan saya menambah sembelihan lima ekor lagi untuk jualan sebelah petang.

“Jika daging lembu untuk jualan hari ini tidak cukup, untuk jualan esok, saya akan tambah lima ekor lagi,” katanya di sini semalam.

Menurut Jamal, ini kali pertama beliau menganjurkan jualan seperti itu selepas berjinak-jinak dalam bidang ternakan lembu secara komersial sejak Mei tahun lepas menerusi ladangnya, Jamal Abdillah Farm di Bukit Merah.

Beliau berkata, harga daging lembu yang dijual pada program hari ini jauh lebih murah berbanding harga di pasaran.

“Niat saya sebenarnya untuk bersedekah, membantu masyarakat yang mengeluh kerana harga barang naik. Saya juga ada pengalaman ke pasar raya dan mendapati harga barangan memang tinggi.

“Jadi saya ambil insiatif jualan ini membantu masyarakat untuk mengurangkan tekanan hidup mereka dari segi perbelanjaan harian,” katanya.

Jualan Rahmah Jamal Abdillah Farm dengan usahasama Perak SADC diadakan hari ini dan esok.

Sempena program tersebut, daging pejal dijual pada harga RM32 sekilogram, daging batang pinang RM39 sekilogram, tulang RM26 sekilogram, tulang rusuk RM32 sekilogram, organ RM16 sekilogram, kepala lembu RM60 sekilogram dan gear box RM10 sekilogram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN