PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menggesa orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan penularan video lama yang dikongsikan menerusi sebuah portal.
JPA dalam satu kenyataan berkata, paparan video berdurasi kira-kira satu minit itu dilihat cuba mencalarkan imej kerajaan dan perkhidmatan awam.
Menurutnya, paparan video lama itu memaparkan babak pertemuan antara pegawai awam kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), namun haknya dinafikan dan dihalang sekumpulan polis bantuan.
“Video pudar itu sebenarnya simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan situasi serangan provokatif.
“JPA mengambil serius terhadap sebarang cubaan melemahkan institusi perkhidmatan awam dengan memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap isu dan kebajikan pegawai awam di negara ini,” katanya di sini, hari ini. – UTUSAN