PETALING JAYA: Komposer dan penyanyi, Daqmie, berpandangan lagu Hari Raya Aidilfitri perlu dihasilkan selari dengan mesej agama iaitu meraikan hari kemenangan dengan bertakbir dan memuji Allah.
“Pertama, kita kena faham Aidilfitri ini membawa mesej apa? Dalam agama, ia adalah hari bergembira menyambut kemenangan. Maka kita raikan dengan solat, menjamu tetamu makan minum dan memakai baju baru.
“Lagu yang dihasilkan berunsur kegembiraan tidak salah, namun jangan melampau batas sehingga memberi kesan kepada kepada masyarakat dan agama,” katanya.
Daqmie mengulas tentang tindakan seorang usahawan yang mencemar kesucian bulan Ramadan menerusi penghasilan klip video tidak senonoh di Internet dan media sosial.
Terdahulu tindakan usahawan berkenaan mencetuskan kemarahan ramai pihak termasuk Gabungan Persatuan Muzik Malaysia yang mahukan individu terbabit diambil tindakan.
Menurut Daqmie, masyarakat boleh memboikot dan berhenti memperkatakan atau berkongsi tentang klip video serta lagu Hari Raya Aidilfitri berkenaan bagi menyekat usahawan tersebut daripada terus menimbulkan provokasi di Internet dan media sosial.
“Dalam perkembangan media sosial, terlalu banyak platform dan sukar untuk kita kawal. Tapi kita masih boleh boikot.
“Jadi, apa yang boleh kita lakukan ialah elak memberi reaksi atau berkongsi klip nyanyian individu tersebut di media sosial. Ini kerana bagi mereka, bad marketing tetap sebuah teknik pemasaran yang baik dan itulah yang mereka inginkan,” tambahnya.