PHANG NGA, THAILAND: Setiap pihak perlu bersama-sama berusaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghubung dalam menjalinkan rasa kebersamaaan khususnya di Selatan Thailand dan Wilayah Andaman.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dalam masa sama, usaha juga perlu dilakukan bagi memastikan tulisan Jawi dapat terus dipraktikkan dan dikekalkan buat generasi masa hadapan.
Titah baginda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada Wilayah Andaman dan Selatan Thailand demi membantu mempertingkatkan lagi penguasaan, peluasan penggunaan Jawi serta Bahasa Melayu.
“Saya melihat kolaborasi penganjuran seumpama ini amatlah baik dan harus diperhebatkan lagi agar kita dapat mewujudkan semangat cintakan ilmu, sifat kebersamaan, serta kebertanggungjawaban dalam segala bentuk program yang mendatangkan manfaat kepada ummah,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan Program Pembelajaran Jawi Wilayah Andaman Tahun 2024 di Hotel Le Erawan, di sini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Konsul Jeneral Malaysia di Songkla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dan Penasihat Undang-Undang negeri, Radhi Abas.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, terdapat banyak lagi kerjasama dapat disumbangkan oleh DBP pada masa hadapan bagi membantu meningkatkan pembelajaran dan penguasaan Bahasa Melayu bersama tulisan Jawi di Wilayah Andaman serta Selatan Thailand.
“Di Malaysia, DBP merupakan institusi kerajaan yang sangat signifikan peranannya dalam membina, memodenkan dan mengembangkan Bahasa Melayu sebagai ‘bahasa ilmu’ atau ‘bahasa persuratan’ yang penting di Malaysia serta Nusantara.
“Tambahan pula, Bahasa Melayu sudah menjadi ‘lingua franca’ di Nusantara dan banyak karangan serta kitab-kitab agama ditulis dalam Bahasa Melayu atau dalam tulisan Jawi,” titah baginda.-UTUSAN