Iran balas dendam, Israel tagih simpati UNSC - Utusan Malaysia

Iran balas dendam, Israel tagih simpati UNSC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Dunia dikejutkan dengan serangan bertali-arus oleh tentera Iran yang melancarkan lebih 300 dron serta pelbagai jenis peluru berpandu terhadap Israel, Sabtu lalu. 

Susulan serangan mengejut ketika Hari Raya Aidilfitri masih diraikan, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyuarat tergempar, semalam. 

Mesyuarat itu diadakan selepas Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Gilad Erdan menagih simpati UNSC mengutuk serangan Iran dan melabelkan Kor Pengawal Revolusi Iran sebagai organisasi pengganas. 

“Serangan Iran adalah ancaman serius kepada keamanan dan keselamatan global. Saya berharap UNSC menggunakan segala cara dan mengambil tindakan konkrit terhadap Iran,” katanya menerusi ciapan di X. 

Bagaimanapun, Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Daniel Hagari melaporkan, serangan itu tidak menyebabkan kerosakan besar atau mengancam nyawa penduduk di Israel. 

Ini kerana, katanya, tentera Israel mendakwa berjaya memintas 99 peratus serangan dron serta menembak jatuh peluru berpandu menggunakan sistem pertahanan udara ‘Arrow’ malah mendapat bantuan sekutunya Amerika Syarikat (AS).

Israel turut mendakwa Iraq dan Yaman bertanggungjawab melancarkan beberapa serangan lain.  

“Sebilangan kecil kesan kerosakan akibat serangan direkodkan termasuk di pangkalan IDF di selatan Israel.

“Bunyi siren dan letupan kuat jelas kedengaran di seluruh Jerusalem selepas pasukan pertahanan udara menembak jatuh dron di bandar itu,” jelasnya.   

Serangan balas dendam yang diumumkan sebagai Operation Honest Promise dilancarkan susulan Israel menyerang konsulatnya di Damsyik sehingga mengorbankan tujuh pegawai tertinggi tentera, 1 April lalu.

RESPONS CHINA  

Dalam pada itu, China menyeru pihak yang berkaitan supaya kekal tenang dan menahan diri bagi mengelak ketegangan yang semakin meningkat. 

China mempunyai hubungan diplomatik dan ekonomi yang rapat dengan Iran. 

Minggu lalu, Washington menyeru Beijing supaya menggesa Teheran tidak melancarkan serangan balas terhadap Israel. 

Bagaimanapun, Financial Times melaporkan pegawai AS tidak melihat bukti China mengenakan tekanan terhadap Iran.     

RAKYAT IRAN BERHIMPUN 

Awal pagi semalam menyaksikan ribuan rakyat Iran turun ke jalanan sebagai tanda sokongan terhadap serangan dron dan peluru berpandu ke Israel. 

‘Kematian kepada Israel’ dan ‘Kematian kepada Amerika’ antara slogan yang dilaungkan oleh penunjuk perasaan di Dataran Palestin Teheran. 

Sambil mengibarkan bendera Kebangsaan Iran dan Palestin, mereka turut mengangkat sepanduk bertulis ‘kemenangan dari Tuhan sudah hampir’. 

ISRAEL YAKIN MENANG 

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan nada angkuh yakin pihaknya akan memenangi serangan itu. 

Tentera Israel juga dalam tahap penuh kesiapsiagaan berdepan sebarang ancaman dan senario.  

Presiden AS, Joe Biden turut menghubungi Netanyahu selepas mengadakan pertemuan bersama penasihat keselamatannya di White House, selama dua jam. 

Beliau turut menegaskan sokongan AS terhadap negara sekutu kekal utuh dan membantu untuk memintas semua dron dan peluru berpandu yang dilancarkan. -AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya