Institusi masjid perlu sentiasa diperkasa - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Institusi masjid perlu sentiasa diperkasa – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada Muslim Chatid Nawar (kiri) sewaktu Program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Negeri Arau, Perlis, baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Institusi masjid perlu sentiasa diperkasa dalam memantapkan pengurusannya bagi membantu meningkatkan kesejahteraan setiap ahli kariahnya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pemerkasaan institusi masjid perlu dilihat menerusi dua sudut iaitu pihak pengurusan atau pengiktirafan masyarakat terhadap fungsi dan peranannya.

“Pihak masjid perlu memainkan peranannya dalam memantapkan pengurusan sama ada dari segi pengimarahan atau fizikalnya.

“Selain itu, ia turut berperanan dalam membantu meningkatkan kesejahteraan sosio ekonomi anak kariahnya,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian bersempena Program Hijrah Minda Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan Ke-8 Tahun 2024 di Masjid Negeri Arau di sini.

Berangkat sama pada majlis berkenaan adalah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Imam Besar negeri, Ahmad Sirajuddin Abd Sattar Al-Hafiz.

Pada majlis berkenaan, baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada Muslim Chatid Nawar yang menyumbang sebanyak RM101,000 bagi tujuan aktiviti pengimarahan masjid-masjid seluruh negeri ini.

Selain itu, MAIPs turut berkesempatan menyampaikan sumbangan Ihyak Ramadan berjumlah RM30,000 yang diserahkan oleh baginda kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Ku Chik Ku Mat Isa.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar peranan institusi masjid sentiasa diiktiraf oleh masyarakat melalui penyertaan mereka dalam pengimarahan solat berjemaah dan kelas agama.

“Selain itu sumbangan kewangan yang diberikan kepada masjid juga dapat melestarikan eko sistem pengimarahan dan tadbir urus yang kondusif,” titahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya