TEMERLOH: Majlis Iftar Ramadan di Esplanade Temerloh di pinggir Sungai Pahang sepanjang 2,168 meter diisytiharkan terpanjang di negara ini dan diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBOR).
Program anjuran Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) tersebut disertai hampir 5,000 pengunjung yang memenuhi ruang di lokasi terbabit sejak pukul 6 petang, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, pengiktirafan itu wajar dicontohi pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Pahang.
Katanya, sebanyak 11 PBT di seluruh negeri ini boleh mengetengahkan potensi dan lokasi sebagai satu identiti menarik di daerah masing-masing untuk menarik kehadiran pelancong.
“Kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada MPT atas inovatif dan pengiktirafan ini dan diharapkan ia berterusan. Saya dimaklumkan tiga bulan akan datang, MPT akan cuba mengadakan karnival makan ikan patin terbesar membabitkan 1,000 tukang masak,” katanya di sini kelmarin.
Mohammad Fakhruddin berharap PBT di negeri ini berfikir luar kotak supaya dapat mengadakan sesuatu yang menjangkau lebih daripada apa yang dicapai.
Sementara itu, Yang Dipertua MPT, Suris Mihat berkata, pada Disember tahun lalu, PBT tersebut berjaya mendapat dua pengiktirafan MBOR iaitu Pekan Sehari Terpanjang Malaysia iaitu 2,153 meter dan dan bilangan Peniaga Pasar Pagi Terbanyak melibatkan 607 orang yang berurusan menerusi urus niaga tanpa tunai. – UTUSAN