PETALING JAYA: “Saat paling hiba dan pilu apabila melihat ibu bapa dalam jagaan kami mengemas beg dan menunggu di hadapan pintu dengan harapan anak-anak yang entah berada di mana akan membawa mereka pulang bersama menyambut Syawal. Hakikatnya, ia tidak menjadi realiti.”
Demikian luahan Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Muhammad Syafiq Mohiadin, ketika ditanya mengenai situasi orang tua-tua di pusat kebajikan itu, ketika seluruh umat Islam di negara ini akan merayakan Aidilfitri yang dijangka esok.
Lebih menyedihkan, kata beliau, ada dalam kalangan warga emas yang sanggup menyimpan makanan diterima daripada pelawat atau orang awam untuk dibekalkan kepada anak-anak, sekiranya suatu hari nanti mereka datang menjemput di pusat kebajikan itu.
Bagaimanapun, kata Muhammad Syafiq, golongan itu tidak berpeluang berjumpa anak-anak atau waris mereka dalam tempoh yang lama, sehinggalah mereka menghembuskan nafas terakhir di bawah pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berharap anak-anak atau waris yang ‘membuang’ ibu bapa terbuka hati membawa mereka pulang bagi merayakan hari yang mulia itu bersama-sama.
“Sebenarnya bergantung kepada situasi setiap warga emas di sini. Ada ibu ayah yang menanti anak-anak mereka melawat atau mahu pulang kerana sudah terlalu lama berada di pusat jagaan.
“Selalunya, ibu bapa yang terbuang ini terlantar sakit, menjadi beban kepada anak-anak, hubungan porak-peranda dan berpecah-belah, kes isteri enggan jaga mentua tetapi anak mahu jaga ibu atau ayah. Oleh kerana anak-anak mementingkan keluarga sendiri, maka ibu bapa ini diletakkan di pusat jagaan.
“Nasihat saya kepada anak-anak di luar sana, apabila kita melakukan perkara baik insya-Allah apabila tua nanti juga memperoleh perkara baik. Kifarah ini memang benar berlaku. Kalau tidak mampu bawa pulang, lawatlah ibu dan ayah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengikut rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), sehingga kini terdapat sebanyak 393 pusat penjagaan warga emas di seluruh negara yang berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.
Mengulas lanjut, katanya, sepanjang lapan tahun menguruskan pusat kebajikan itu, sebanyak 300 kes penjagaan warga emas yang dibuang keluarga dan kebanyakannya adalah kaum Melayu.
Pusat jagaannya turut menerima masuk antara 30 sehingga 50 kes rujukan sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM), selain satu hingga dua permohonan penempatan orang tua-tua sehari.
Jelas beliau, pusat jagaannya kini menguruskan 52 warga emas selepas usaha mencari waris gagal, manakala anak-anak sendiri tidak menerima kehadiran ibu bapa mereka.
Katanya, ramai dalam kalangan warga emas di bawah pusat jagaannya yang sudah lama menetap di situ dan meninggal dunia, namun, anak-anak atau waris hanya kelihatan semasa atau selepas meninggal dunia demi mendapatkan sijil kematian dengan cara yang tidak sopan.
“Isu ini bukanlah dan bukan timbul setiap kali menjelang hari raya sahaja. Isu ini patut ditekankan dan orang ramai mesti sedar apa tanggungjawab mereka kepada ibu bapa masing-masing,” katanya. – UTUSAN