Hilal Syawal ikut kriteria di 3 lokasi cerap di Wilayah Persekutuan? - Utusan Malaysia

Hilal Syawal ikut kriteria di 3 lokasi cerap di Wilayah Persekutuan?

PASUKAN Jawatankuasa Pencerapan Hilal Peringkat Putrajaya sedang meneliti kedudukan anak bulan di stesen PICC, Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia kemungkinan besar berpuasa hanya 29 hari ekoran ada beberapa lokasi pencerapan hilal dijangka memenuhi kriteria imkanur rukyah (KIR).

Ini termasuk ketiga-tiga stesen pencerapan anak bulan Syawal di Wilayah Persekutuan apabila unjuran hisab atau hitungan falak menyaksikan hilal menepati kriteria ditetapkan.

Perkara berkenaan turut diakui Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah yang juga antara pakar rujukan falak tanah air.

“Insya-Allah jika berdasarkan pengiraan data teknikal yang dilakukan sebelum ini, tidak mustahil tarikh 1 Syawal akan jatuh 10 April,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Secara keseluruhan terdapat 29 lokasi yang diwartakan oleh Majlis Raja-Raja untuk proses pencerapan hilal dan penetapan awal bulan bagi takwim Hijrah sepanjang tahun.

Di Wilayah Persekutuan, ia melibatkan Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan puncak Menara UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

Malah jadual data rukyah yang disiarkan menerusi laman sesawang rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) turut menunjukkan KIR dipenuhi di tiga stesen berkenaan.

Antaranya di Menara Kuala Lumpur apabila ketinggian bulan atau altitud dipaparkan enam darjah 26 minit manakala jarak lengkung atau elongasi diunjurkan lapan darjah 50 minit.

“Ini bermakna KIR di lokasi ini telah melangkaui syarat minimum iaitu altitud mestilah lebih tiga darjah dan elongasi kena tidak kurang enam darjah 24 minit,” katanya.

Data dipamerkan JMWP itu bersumberkan penyelidikan lebih 20 tahun oleh pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tidak ketinggalan, pencerapan di PICC menyaksikan dua syarat KIR akan dipenuhi iaitu altitud dijangka tujuh darjah enam minit manakala elongasi pula lapan darjah 48 minit.

Sementara stesen di UMS Labuan. ujar Mohamad, memperlihat ketinggian bulan ialah enam darjah 53 minit dan jarak lengkung bulan diunjurkan ialah lapan darjah 17 minit.

Pulau bebas cukai itu pernah mencipta kejutan apabila mencerap hilal Syawal pada 2022 yang mencetuskan suasana panik ‘raya terkejut’ kerana ramai tidak menduga ia berlaku.

Majlis Raja-Raja meluluskan KIR baharu itu pada 2021 namun keputusan muktamad akan hanya diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja setelah data diperkenankan.

Hilal boleh dilihat terus secara mata kasar selain bantuan pelbagai jenis teleskop, teodolit, binokular dan kamera, tetapi bergantung suasana langit yang bebas daripada awan tebal.

Kompleks Baitul Hilal di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan merupakan lokasi paling kerap berjaya merekodkan hilal Syawal iaitu pada 1972, 1974, 1981 dan 2001. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN