Gred 41 ke bawah paling ramai buat pinjaman

Gred 41 ke bawah paling ramai buat pinjaman

Kakitangan kerajaan Gred 41 ke bawah antara yang paling ramai membuat pinjaman peribadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kakitangan kerajaan Gred 41 dan ke bawah antara yang paling ramai membuat pinjaman peribadi bagi menanggung kos sara hidup yang tinggi selain jumlah gaji diterima menghampiri garis kemiskinan.

Namun, trend kakitangan penjawat awam yang membuat pinjaman tidak bertambah mendadak susulan tindakan kerajaan menggantikan skim lantikan baharu kini secara kontrak yang tidak mendapat keistimewaan membuat pinjaman secara mudah oleh institusi perbankan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) , Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, hanya lima peratus atau terdapat kira-kira 50,000 penambahan peminjam baharu direkodkan setelah peminjam lama melangsaikan pinjaman masing-masing.

“Kebanyakan yang meminjam adalah kumpulan gred 41 ke bawah. Lazimnya mereka buat pinjaman dengan alasan untuk berkahwin atau membeli rumah,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Angkasa menguruskan hampir RM1.2 bilion sebulan atau RM14.4 bi­lion setahun bayaran balik 800,000 penjawat awam yang membuat pinjaman de­ngan pelbagai institusi kewangan dan koperasi.

Jumlah pinjaman keseluruhan berubah-ubah setiap masa kerana setiap hari ada pinjaman habis dibayar dan terdapat permohonan baharu diluluskan kepada peminjam.

Lima lagi agensi yang me­nguruskan pinjaman kakita­ngan awam adalah Bank Simpanan Nasional (BSN), Yayasan Ihsan Rakyat (YIR), CoShare Holdings Berhad, I.Destinasi (IDSB) dan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank).

Abdul Fattah berkata, kumpulan penjawat awam gred 41 ke bawah membuat pinjaman kerana kenaikan gaji mereka tidak meningkat dengan banyak.

“Oleh itu, mereka akan membuat pinjaman untuk tujuan peribadi dan kalau dilihat kumpulan penjawat awam gred 41 adalah pekerja baharu atau lepasan daripada universiti,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, gaji penjawat awam gred 44 berada di bawah garis kemiskinan.

“Memang tidak dinafikan penjawat awam gred 44 ke bawah lebih ramai yang melakukan pinjaman. Ini juga kerana gaji atau pendapatan isi rumah tidak sampai RM6,000.

“Gaji mereka masih lagi tidak mampu menanggung kos sara hidup yang tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN