Gred 41 dan ke bawah pinjam kerana tampung kos sara hidup

Gred 41 dan ke bawah pinjam kerana tampung kos sara hidup

Kakitangan kerajaan Gred 41 ke bawah antara yang paling ramai membuat pinjaman peribadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebahagian besar kakitangan kerajaan Gred 41 dan ke bawah membuat pinjaman bukan untuk gaya hidup sebaliknya bagi menanggung kos sara hidup yang terus melonjak.

Oleh itu, pihak-pihak yang berpendapat tabiat kakitangan kerajaan gemar meminjam kerana ingin berbelanja mengikut kehendak bukan keperluan adalah tidak benar.

Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, mengikut maklumat hutang isi rumah ketika ini mencecah RM1.53 trilion sekali gus menjadikan Malaysia antara yang tertinggi di ASEAN.

Menurut beliau, daripada hutang tersebut, sebahagian besar digunakan untuk pembelian rumah dan mengikut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) harga rumah akan terus meningkat.

“Malah kos lain seperti pendidikan, kesihatan dan peralatan rumah termasuk makanan siap dan mentah semuanya meningkat kesan rantaian yang berlaku hasil pengumuman SST lapan peratus,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) menguruskan hampir RM1.2 bilion sebulan atau RM14.4 bi­lion setahun bayaran balik 800,000 penjawat awam yang membuat pinjaman de­ngan pelbagai institusi kewangan dan koperasi.

Shazida berkata, peningkatan jumlah pekerja awam yang berhutang terutama membabitkan kalangan gred rendah tidak boleh dipandang negatif.

“Kita semua telah menyesuaikan kewangan kepada keadaan sedia ada. Kita tidak boleh menyalahkan cara mereka berbelanja apabila gaji sedia ada yang tidak mampu untuk menyimpan jika disimpan pun hanya sementara,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, gaji kakitangan awam termasuk skim pencen perlu dinaikkan ke paras baharu berikutan kenaikan kadar inflasi yang meningkat selepas pandemik pada 2022.

“Seiring itu juga aras gaji pekerja syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu disemak dan diperkemas semula sesuai dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN