PETALING JAYA: Fiqh al-Ta’ayush perlu diarusperdanakan secara meluas di Malaysia bagi memberikan kefahaman dinamik dan progresif mengenai tatacara menangani dan meraikan kepelbagaian.
Al-Ta’ayush merujuk kepada kewujudan bersama dalam suasana persaudaraan dan toleransi dalam kalangan semua rakyat tanpa mengira bangsa, warna kulit dan kepercayaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, konsep itu perlu dijadikan tema perbincangan dan ruang dijadikan satu pendekatan lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep hubungan Muslim dan bukan Muslim
Katanya, realiti dunia hari ini yang berhadapan kemajmukan dan kepelbagaian menuntut kepada keberanian zaman menerusi pendekatan berhikmah dan kekuatan ilmu untuk membina negara dan mewujudkan masyarakat yang harmoni.
“Isu demi isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama terus menguji perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.
“Baru-baru ini, kempen #kitakawan telah dilancarkan bagi mencetuskan gelombang positif kehidupan bersama di Malaysia.
“Dalam konteks ini, Fiqh al-Ta’ayush perlu diarusperdanakan dan diwacanakan secara meluas di Malaysia bagi memberikan kefahaman dinamik dan progresif mengenai tatacara hidup menangani dan meraikan kepelbagaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Fiqh al-Ta’ayush perlu dilihat dalam konteks realiti Malaysia berbeza di negara majoriti bukan Islam yang lebih sesuai dibicarakan dalam konteks Fiqh al-Aqalliyyat (Fiqh Minoriti).
Jelasnya, dalam konteks Malaysia, orang bukan Islam adalah al-muwatinun (warganegara) kerana mereka adalah warga sah daripada sudut undang-undang dan Perlembagaan.
“Perkara 8 Perlembagaan Malaysia secara jelas menyebut bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
“Orang bukan Islam bebas mengamalkan budaya dan agama mereka dalam sebuah negara dengan syarat tidak memberi mudarat kepada orang lain,” katanya.
Justeru itu kata Zulkifli, konsep itu menganjurkan bahawa orang bukan Islam boleh sama-sama menikmati hak dan memikul tanggungjawab sebagai seorang warga negara dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ia juga berkongsi komitmen mempertahankan kedaulatan negara.
“Al-waqi` al-Malizi (realiti Malaysia) ini mengambil kira dinamika nas daripada sudut teks dan konteks mengambil realiti tersendiri ‘keMalaysiaan’ yang mungkin tiada di tempat-tempat lain,” katanya.
Bersempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, Zulkifli mengajak semua menghayati Fiqh al-Ta’ayush al-Silmi yang membawa gagasan rahmah dan kasih sayang sekali gus mewujudkan masyarakat saling melengkapi antara satu sama lain. -UTUSAN