MELAKA : Suami penyanyi, Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali Datuk Red, 46, bersyukur dan terharu apabila Datuk Wira Dr Azizan Osman menyatakan kesediaanya untuk memberi bimbingan perniagaan supaya dia berpeluang bangkit semula daripada zaman kejatuhan yang dialami kini.
Menurut Datuk Red, dia tersentuh hati apabila dihubungi Dr. Azizan yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk berkerjasama dengan anak didiknya, Dr Samhan iaitu seorang pempengaruh kesihatan yang juga doktor perubatan.
“Saya sedang membuat siaran ‘live’ di tiktok, kebetulan Dr. Azizan menegur saya ketika itu, selepas itu beliau menghubungi saya dan menawarkan bantuan bimbingan dengan kerjasama bersama Dr. Samhan.
“Walaupun begitu, ada syarat-syarat yang perlu dipersetujui agar saya tidak tersasar terutama dalam perniagaan” katanya.
Jelas Datuk Red lagi,dia turut bersetuju apabila Dr. Azizan juga mencadangkannya melantik peguam yang dipercayai untuk mengurus pendapatannya dan mengasingkan khusus memudahkan baginya menyelesaikan setiap hutang-hutangnya.
Sementara itu, Datuk Wira Dr. Azizan berkata, bimbingan ini direalisasikan hasil kerjasama dengan pemilik Him Wellness Clinic, Dr. Samhan memfokuskan produk dan servis untuk kesihatan lelaki.
“Saya yakin dengan kerjasama ini, Datuk Red dapat bangkit semula dan mencapai jualan pertamanya sebanyak RM1 juta dalam tempoh tiga bulan.
“InsyaAllah, dengan izinNya dan sokongan daripada semua pihak, saya dan RichWorks akan cuba membantu Datuk Red dengan bimbingan perniagaan agar beliau dapat menyelesaikan hutangnya dan keluar dari kebankrupan dengan memulakan perniagaan baru ini.
“Dengan sokongan padu daripada orang ramai dan komitmen Datuk Red, saya jangkakan beliau akan dapat keluar daripada kesilapan dan belenggu hutang sebanyak RM7 juta ini dalam tempoh tiga tahun.
“Saya akan pantau beliau, itu syarat saya” tambahnya lagi dalam majlis rumah terbuka di kediaman bonda beliau di Tengkera, Melaka,”katanya.
Dalam pada itu, Dr.Samhan yang berbesar hati melantik Datuk Red sebagai ‘Ambassador Partner’ bagi produk kesihatannya berkata, pihaknya yakin ini merupakan satu peluang yang bukan sahaja dapat membantu Datuk Red tetapi sekali gus membantu orang ramai menjana pendapatan.
“Perancangan promosi akan disusun bersama Dr. Azizan dan Datuk Red selepas selesai kami menandatangani perjanjian ini,” ujarnya.
Ditanya adakah beliau tidak risau kecaman netizen, jelasnya ia bukanlah perkara utana yang perlu difikirkan tetapi melihat kesungguhan Datuk Red untuk berubah kepada kehidupan lebih baik.
Terdahulu, Dr. Azizan juga mengumumkan RichWorks akan mengadakan bimbingan perniagaan secara langsung di Kota Bharu pada 24 April ini dan di Shah Alam pada 22 Mei bagi pengusaha terpilih di sekitar Pantai Timur dan Semenanjung Malaysia.