Datuk Nash bersyukur sambut Ramadan sambil berdakwah - Utusan Malaysia

Datuk Nash bersyukur sambut Ramadan sambil berdakwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi kumpulan Lefthanded, Datuk Nash bersyukur terus dikurnia nikmat oleh Allah S.W.T untuk meneruskan ‘perjalanan’ rohani bersama guru-guru agama di beberapa madrasah di Pahang dan Johor.

Penyanyi lagu Zahir Tak Terucap dan Pada Syurga Di Wajahmu itu ceria ketika menceritakan kembara dakwah ke madrasah di Jerantut, Mersing, Kuantan dan lain-lain lagi.

Menurut Nash, bulan Ramadan adalah masa untuk setiap individu memperbaiki amalan diri di saat masih diberi kesihatan jasmani.

“Alhamdulillah kita dapat mengimarahkan bulan Ramadan ini dengan program bersama maulana-maulana di beberapa madrasah.

“Apa yang paling penting kita doa kepada Allah S.W.T agar ibadah kita terus dipelihara dan Allah S.W.T terima dan makbulkan doa-doa kita pada bulan yang dijanjikan lebih baik daripada seribu bulan.Insha-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada program sempena Ihya Ramadan di Plaza Shah Alam malam tadi.

Nash berkata, Ramadan adalah waktu untuk muslimin dan umat Islam menambah nilai iman dalam diri. 

“Iman itu sangat penting, kerana ia menentukan kita mendapat kasih sayang Allah sebelum pengakhiran kita (ke arah kebaikan),” katanya.

Nash yang masih aktif membuat persembahan memberitahu, sempena bulan Syawal beliau turut mendapat banyak jemputan persembahan di rumah-rumah terbuka.

Tambahnya lagi, bulan Syawal bukan sekadar meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa tetapi juga untuk umat Islam ziarah menziarahi dan  memperkukuhkan ukhuwah sesama mereka.

“Alhamdulillah banyak jemputan rumah terbuka dan persembahan program rumah terbuka. Apa yang penting, kita mengeratkan silaturahim dan memberi tumpuan kepada masyarakat, kawan-kawan, saudara-mara. Ini masa terbaik untuk melawat kawan-kawan yang sakit,” ujarnya.

Mengulas mengenai ke mana beliau akan pulang beraya, tahun ini beliau akan balik kampung ke Parit Kadhi Muar untuk bertemu kaum keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN