Daging RM25 sekilogram, inisiatif UMNO Kangar dapat sambutan hebat - Utusan Malaysia

Daging RM25 sekilogram, inisiatif UMNO Kangar dapat sambutan hebat

ORANG ramai beratur sepanjang kira-kira 200 meter seawal pukul 8 pagi bagi mendapatkan daging lembu tempatan yang dijual pada harga murah hasil inisiatif UMNO Kangar di Pusat Perniagaan Sena, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Inisiatif UMNO Bahagian Kangar menyediakan daging lembu tempatan pada harga murah mendapat sambutan cukup hebat dengan orang ramai beratur panjang seawal pukul 8 pagi bagi mendapatkan bekalan tersebut.

Dianggarkan lebih 500 orang beratur sepanjang kira-kira 200 meter di hadapan pejabat Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya di pusat perniagaan Sena di sini bagi membeli bekalan daging lembu tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, pihaknya menyediakan sebanyak lima ekor lembu bagi memberi kemudahan buat orang ramai mendapatkan bekalan daging pada harga murah menjelang Aidilfitri.

FATHUL Bari Mat Jahya (dua dari kiri) membantu menguruskan jualan daging tempatan murah anjuran UMNO Bahagian Kangar di Pusat Perniagaan Sena, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

“Program ini mendapat sambutan amat menggalakkan di mana ia sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi namun orang ramai telah mula beratur bagi mendapatkan bekalan berkenaan seawal pukul 8 pagi.

“Menerusi jualan ini, kita memasarkan daging dan tulang lembu pada harga murah iaitu RM25 untuk sekilogram,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai jualan itu, Fathul Bari berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan adalah bagi meraikan dan memberi kegembiraan buat orang ramai dalam melakukan persediaan untuk menyambut Aidilfitiri.

Beliau berkata, menerusi penganjuran itu, pihaknya juga mendapati terdapat beberapa kelemahan yang perlu ditambah baik pada masa hadapan demi kebaikan bersama.

“Kami memohon maaf kepada mereka yang terpaksa beratur lama bagi mendapatkan bekalan daging yang dipasarkan ini atas beberapa faktor.

“Salah satu faktor kelewatan adalah disebabkan oleh proses di pusat sembelihan yang sedikit memakan masa berikutan terdapat banyak lagi tempahan pembeli lain perlu diuruskan,” katanya.

Justeru Fathul Bari merancang untuk mengembangkan lagi program tersebut pada masa hadapan bagi membolehkan lebih ramai pihak dapat menikmati manfaat jualan murah tersebut.

“Mungkin tahun depan kita akan kembangkan lagi dan tambah dari lima ke 10 ekor lembu bergantung kepada kemampuan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN