PETALING JAYA: Cuaca panas dan kekurangan hujan sejak awal Februari dan diramal berterusan sehingga Mei ini dijangka menyebabkan bil elektrik pengguna melambung naik.
Pakar klimatologi, Dr. Fredolin Tangang berkata, bermula Mei fenomena El Nino di Lautan Pasifik kembali normal dan mengikut pusat ramalan kesan El Nino yang sedang dilalui di negara ini akan berakhir.
“Ketika ini kesan El Nino masih dirasai walaupun kita telah beralih ke musim perantaraan monsun.
“Peningkatan litupan awan di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia menurunkan suhu pada Mei ini berbanding kawasan-kawasan lain terutama di bahagian utara Semenjanjung serta Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Terkini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu iaitu berjaga-jaga di 14 kawasan.
Antara kawasan terlibat ialah Perlis, Kedah (Pulau Langkawi, Pendang, Kuala Muda, Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik, Baling dan Bandar Baharu) termasuk Kelantan di Gua Musang.
Dua kawasan di Sarawak membabitkan daerah Mukah dan Telang Usan manakala Sabah pula melibatkan Tuaran serta Tenom.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cuaca panas sejak Februari lalu telah meningkatkan penggunaan elektrik setiap isi rumah.
Menurut beliau, berdasarkan rekod dikeluarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), penggunaan tenaga elektrik yang direkodkan pada 26 Mac lalu, mencecah 19,667 MW.
Katanya, ini merupakan tahap yang tertinggi untuk tahun ini dengan peningkatan keseluruhan penggunaan tenaga sebanyak empat peratus berbanding bulan Februari dan Mac 2024.
“Bukan itu sahaja, menjelang sambutan Aidilfitri, penggunaan tenaga dijangka terus meningkat seiring dengan aktiviti-aktiviti penyediaan di rumah untuk menyambut hari raya,” jelasnya.
Susulan itu, Fadillah menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan penijmatan dan menggunakan tenaga elektrik dengan bijak.
“Ketika cuaca panas terik, tindakan menutup tingkap dengan langsir yang tebal boleh menghalang haba daripada masuk dan membebankan penyaman udara.
“Semakin kurang beban pada penyaman udara untuk menyejukkan bilik, semakin rendah penggunaan elektrik,” katanya.
Selain itu, pengguna juga boleh melayari laman sesawang www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks untuk mengetahui maklumat lanjut.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Loh Teck Chwen berkata, musim panas ketika ini tidak memberi kesan kepada dakwaan buah-buahan tropika seperti tembikai dan durian akan lebih manis.
“Kebanyakan tanaman perlukan air untuk terus hidup. Bukannya musim kemarau buahnya menjadi lebih manis, ia masih perlukan jumlah air yang mencukupi.
“Untuk elak hidupan daripada kekurangan air, mungkin jalan penyelesaiannya adalah sistem pengairan yang baik untuk tanaman dan ternakan,” katanya.
Menurutnya, air yang terlampau banyak juga mempengaruhi penghasilan tanaman dan harus bersesuaian dengan keperluan mereka. – UTUSAN