Buka aib isteri, orang lain, salah dalam Islam - Ustaz Don - Utusan Malaysia

Buka aib isteri, orang lain, salah dalam Islam – Ustaz Don

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal, mengingatkan perbuatan membuka aib seseorang sama ada yang dikenali atau tidak adalah salah di sisi agama Islam.

Don atau nama sebenarnya Don Daniyal bin Don Biyajid, 40, menjelaskan perkara itu menerusi sebuah cerita tentang seorang suami yang ditanya mengenai kelakuan buruk isterinya sehingga bercerai.

“Bagi menjelaskan tentang aib, saya jawab dengan satu kisah. Ada seorang suami, hadir ke mahkamah untuk melakukan lafaz cerai terhadap isterinya. Sebelum menceraikan isteri, ada orang datang dan tanya apa yang dilakukan isteri itu sehingga menyebabkan mereka bercerai.

“Tapi suami ini kata, maaf, saya tidak boleh jawab soalan yang ditanya kerana menceritakan aib isteri adalah dimarah Allah.

“Selepas dia lafazkan cerai, sekali lagi dia ditanya soalan yang sama sebab wanita itu bukan lagi isterinya.

“Tapi lelaki itu jawab, maafkan saya menceritakan buruk orang lain kepada orang lain adalah salah di dalam Islam,” katanya.

Don berkata demikian bagi mengulas mengenai trend mendedahkan kelakuan buruk pasangan dan orang lain yang hangat di media sosial akhir-akhir ini.

Bukan itu sahaja, pengacara program bual bicara ‘Malam Ini Ustaz Don’ itu juga tidak menafikan bahawa media sosial sangat berkuasa, namun pengguna perlu bijak mengendalikannya.

“Zaman ini, media sosial adalah segalanya. Jadi kebanyakan orang harap mereka boleh dapat jawapan dari media sosial. Kita tak boleh marah kalau orang cari pandangan di media sosial sebab itu dunia dia.

“Apa yang kita kena buat, pengguna harus ingat bahawa tujuan asal hantaran dibuat adalah untuk minta pandangan dari orang lain, bukannya minta mereka buat keputusan untuk kita.

“Ada banyak orang kehilangan pasangan yang baik kerana ambil nasihat daripada orang yang salah. Jika anda orang yang susah buat keputusan, jangan tanya (tentang masalah peribadi) di media sosial,” jelasnya.

Don ditemui Utusan Malaysia di majlis rumah terbuka Aidilfitri dan anugerah bulanan MMSB, di sini, semalam.

Tegas Don lagi, apabila seseorang individu itu berkongsi sesuatu di media sosial, mereka harus bersedia untuk menerima respons yang pelbagai daripada umum.

“Kita tak boleh kawal orang. Ada orang bodoh dan pandai. Kita tak boleh pandaikan orang bodoh.

“Dalam dunia hari ini, lengkapkan diri untuk berhadapan dengan apa yang kita mahu.

“Jika kita mahu pergi ke media sosial, kita kena bersedia untuk mendengar pandangan umum,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya