Bina bangsa Malaysia bukan alasan remehkan kepentingan Islam agama Persekutuan - Utusan Malaysia

Bina bangsa Malaysia bukan alasan remehkan kepentingan Islam agama Persekutuan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerangka pembinaan bangsa Malaysia tidak boleh diberikan alasan untuk meremehkan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan termasuk usaha meningkatkan pelaksanaan syariah di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, malah usaha itu perlu dilihat tegas dan tidak kelihatan bertolak-ansur dalam kesungguhan memupuk nilai dan membina negara yang bermaruah.

Bagaimanapun beliau mengingatkan perkara itu bukan satu peluang untuk meremeh, menghina dan merosakkan cara hidup agama dan bangsa lain.

“Inilah perimbangan dan keseimbangan yang perlu dipertahan dalam semangat kita di Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri Mubarak ini,” katanya dalam perutusan bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negara ini memerlukan kekuatan semua pihak dengan semua wilayah dan kaum yang harus melonjakkannya ke tahap terbaik dan bermaruah.

“Kita tidak boleh sisihkan malah memusuhi mana-mana kelompok majoriti atau minoriti mana-mana kaum atau agama atau kepercayaan atas apa alasan sekalipun,” katanya.

Justeru bersempena 1 Syawal, Perdana Menteri menyeru semua rakyat Malaysia saling bermaafan antara satu sama lain.

“Ini juga yang ingin saya sampaikan kepada seluruh umat Islam dan rakan-rakan kita masyarakat Malaysia seluruhnya iaitu memohon maaf seandainya ada keterlanjuran kata, ada kesilapan bahasa ataupun yang telah menyentuh perasaan rakan-rakan dan saudara-mara,” katanya.

Mengakhiri ucapan, Anwar menasihatkan semua umat Islam dan rakyat yang pulang beraya untuk memandu dengan berhati-hati dan cermat.

“Akhiru kalam, kita doa supaya kita punya kekuatan yang cukup bina perpaduan, rancak pertumbuhan, kasih pada yang melarat, memperkasa rakyat dan menjelmakan kejayaan. Malaysia mesti terus kuat dan makmur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN