PETALING JAYA: “Dengan rendah hati saya seikhlasnya memohon maaf kepada Bella Astillah atas segala-gala yang berlaku.”
Demikian luahan pelakon, Ruhainies yang akhirnya bersuara dan memohon maaf secara terbuka kepada Bella Astillah di atas segala kemelut berkaitan rumah tangga aktres itu dengan Alif Aziz.
Ruhainies menerusi Instagram berkata, dia juga meluahkan hasrat untuk bertemu Bella bagi merungkai sekali gus menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sejak kes tangkapan khalwat 9 Mac lalu.
“Saya memilih berdiam diri bukan mahu mengiyakan atau menidakkan tetapi dengan niat untuk mengelakkan pergaduhan dalam media sosial dan memanjangkan perkara ini.
“Saya berhasrat mahu berjumpa awak untuk bersihkan segalanya. Jadi, kita dapat tutup buku dan bergerak ke hadapan serta gembira kembali,” kata Ruhainies.
Dalam masa sama, pemilik nama Nur Ruhainies Fareha Zainul Ilyas, 32, itu juga berharap agar kekasih gelap Aliff, Sarah Yasmine dalam menyertai pertemuan itu bagi sama-sama menyelesaikan kemelut yang berlaku.
“Saya juga seikhlasnya memohon maaf kepada semua yang terkait dan terkesan dengan isu membabitkan saya sepanjang tempoh ini.
“Saya juga secara ikhlas menjemput Sarah Yasmine untuk menyertai kami, jadi kita dapat rungkai dan selesaikan semuanya sekali gus.
“Saya sangat berharap Bella Astillah dan Sarah Yasmine beri peluang berjumpa dengan mereka,” kongsinya.