BUKIT JELUTONG: ‘Bukan lima kali, tapi 11 kali Aliff curang.”
Demikian dakwaan pelakon, Bella Astillah, mengenai kecurangan suaminya, Aliff Aziz termasuklah dengan adiknya sendiri, Eriqa Astillah.
Tegas Bella, tuduhan itu bukan dilakukan secara semberono sebaliknya mempunyai bukti yang kukuh.
“Saya ada bukti dan Aliff tahu itu mengenai itu.
“Jujurnya saya tak suka orang tanya mengenai saya balik Sabah atau tidak. Sebab saya ada sesuatu untuk dikongsikan, jujurnya saya sudah tiada keluarga di Sabah.
“Seperti yang diketahui ramai, saya sebenarnya ada tiga orang adik-beradik perempuan dan sebenarnya Aliff juga pernah curang dengan adik saya iaitu Eriqa Astillah.
“Punyalah saya sayang dekat Aliff, sampaikan saya buang keluarga saya sendiri. Allahuakbar.
“Saya tak pernah beritahu mengenai perkara ini tetapi saya terpaksa sebab orang yang saya sanjung seperti keluarga mentua, tak sangka berpaling pada saya,” katanya.
Bella ditemui Utusan Malaysia di sesi berbuka puasa bertempat di K Town Barbeque, Radia Tower, Bukit Jelutong pada Rabu.
Dedah Bella, semasa dia mengerjakan umrah pada 2022, Aliff dan Eriqa ada bertukar mesej agar hubungan mereka dipermudahkan.
“Sebenarnya sewaktu di umrah pun, mereka ada mesej sesama mereka minta doakan hubungan mereka. Dia juga temankan Aliff ke Gegar Vaganza.
“Allah, saya sakit dada nak cerita. Inilah rahsia saya dan keluarga simpan sebaik-baiknya. Pasal adik saya memang kesilapan sangat besar. Kami sekeluarga sudah tidak balik kampung.
“Apa yang saya kesali, saya buang adik, tak buang Aliff,” katanya.
Kata ibu kepada dua orang anak itu lagi, Aliff menyatakan hasrat untuk bercerai pada 31 Mac lalu selepas penggambaran drama Terjerat tamat.
“Selepas saya solat istikharah, Allah tunjukkan kes khalwat dan sebab itu saya fail cerai.
“Itulah jawapannya kenapa dia nak bercerai, tak balik rumah dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN