Belanja raya RM700, bawa pulang kereta

Belanja raya RM700, bawa pulang kereta

MUHAMMAD SHAHRODZY Abdul Halim (kanan) dan Wan Norhidayah Wan Mohd. (kiri) memenangi Proton Saga di bazar Aidilfitri Bukit Sekilau di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Ini hadiah Hari Ra­ya Aidilfitri paling bermakna dan siapa sangka, rezeki yang di­tentukan Allah SWT buat kami sekeluarga.”

Demikian ujar, Muhammad Shahrodzy Abdul Halim, 38, se­telah memenangi Proton Saga, hadiah utama cabutan ber­tuah bazar Aidilfitri di Bukit Se­kilau, di sini semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Shahrodzy ber­kata, dia dan isterinya, Wan Norhidayah Wan Mohd., 35, tidak menyangka perjalanan 10 kilome­ter dari rumahnya di Kampung Teluk Baharu, Tanjung Lumpur di sini untuk membeli pakaian ba­gi persiapan menyambut Aidilfitri berakhir dengan kejutan.

Menurutnya, siapa sangka de­ngan berbelanja RM700 untuk membeli kelengkapan raya di bazar Aidilfitri tersebut, dia dan keluarga membawa pulang se­buah Proton Saga.

“Ini adalah kali pertama saya dan isteri mencuba nasib me­nyertai cabutan bertuah. Hadiah ini sangat bermakna untuk kami sekeluarga memandangkan kereta yang ada sekarang pun sudah berusia 14 tahun.

“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana kereta baharu ini begitu bermanfaat buat kami sekeluarga,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Wan Norhidayah berkata, dia terkejut dan tidak menyangka mendapat hadiah sebuah kereta dan hanya mampu mengulangi ucapan terima kasih kepada penganjur bazar Aidilfitri tersebut.

Wakil penganjur Grand Bazaaraya Makmur Aidilfitri 2024, Shafieq Johari berkata, idea cabutan bertuah di tapak bazar itu adalah bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung dan mencipta kelainan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN