Bekalan makanan asas mencukupi pada Syawal - KPKM

Bekalan makanan asas mencukupi pada Syawal – KPKM

KPKM memberikan jaminan bahawa bekalan makanan asas adalah mencukupi sepanjang bulan Syawal ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberikan jaminan bahawa bekalan makanan asas adalah mencukupi sepanjang bulan Syawal ini.

KPKM berkata, keyakinan ini adalah selari dengan keupayaan pengeluaran domestik komoditi makanan utama negara oleh para petani, pesawah, peladang, penternak dan nelayan sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Manakala, bekalan komoditi makanan yang terhad pengeluaran domestiknya pula ditampung melalui pengimportan bekalan makanan untuk keperluan pengguna di pasaran,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, KPKM memberitahu, tradisi mengadakan rumah terbuka sepanjang bulan Syawal merupakan kelaziman bagi rakyat Malaysia.

Oleh itu, katanya, jumlah penggunaan bekalan makanan asas dalam kuantiti yang besar diperlukan sepanjang tempoh tersebut.

KPKM berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap keterjaminan bekalan makanan negara akan terus memberikan perhatian sepanjang bulan Syawal ini terhadap lapan komoditi makanan utama yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

“Ia melibatkan beras, ayam, telur, daging, sayur-sayuran, buah- buahan, makanan laut dan susu segar bagi memastikan ianya mencukupi untuk keperluan pengguna.

“Kebolehcapaian komoditi makanan utama ini juga akan disokong oleh outlet pemasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), selain pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara,” ujarnya.

Pada masa sama, KPKM menggalakkan amalan penggunaan bekalan makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan sebarang bentuk pembaziran makanan, khususnya dalam tempoh penganjuran rumah terbuka di bulan Syawal ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN