Bapa anak OKU perlu bantuan bina rumah sambut Aidilfitri

Bapa anak OKU perlu bantuan bina rumah sambut Aidilfitri

NIK MAT Nik Wan menunjukkan lantai rumahnya yang reput dan berlubang di Kampung Belukar, Damak di Jerantut, Pahang - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ketika orang lain sibuk menghias kediaman ma­sing-masing bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba, namun tidak buat sebuah keluarga di Kampung Belukar, Damak di sini apabila tidak mampu berbuat demikian ekoran kesusahan dan terpaksa tinggal dalam rumah yang uzur serta tidak selesa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk berkenaan, Nik Mat Nik Wan, 38, berkata, rumah berusia hampir 30 tahun yang dibina oleh datuknya sudah mengalami kebocoran atap, lantai terkopak dan berlu­bang, dimakan anai-anai ser­ta beberapa bahagian reput yang tidak selesa didiami.

“Saya berdepan cabaran pu­la apabila rumah ini dibadai ribut minggu lalu sehingga me­ngalami kerosakan 80 peratus yang perlu dibaiki segera dan kemungkinan kami berhari raya dalam rumah yang tidak selesa.

“Selepas kejadian ribut, ada juga individu tampil menyum­bangkan peralatan binaan seper­ti papan dan zink untuk membaik pulih bumbung namun ma­sih tidak mencukupi kerana terdapat banyak bahagian lagi ruang dalam perlu dibaiki,” ka­tanya di Kampung Belukar, Da­mak di sini kelmarin.

Menurut Nik Mat, malang menimpa dirinya ketika memasang atap rumah yang rosak apabila dia terjatuh menyebabkan bahagian tumit kaki kirinya patah.

“Selepas kejadian ini, saya cuma bertongkat dan tidak boleh membuat banyak kerja sedangkan Hari Raya Aidilfitri sudah hampir,” katanya.

Nik Mat yang mempunyai enam orang anak berusia antara empat hingga 12 tahun, manakala anak kedua kembar berusia 11 tahun dan seorang lagi berstatus orang kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun tidak membuat apa-apa persiapan hari raya lantaran tidak mampu bekerja.

Dia berkata, isterinya, Siti Aminah Awang Ngah, 35, cuma membuat persiapan ala kadar sahaja tidaklah semeriah seperti jirannya untuk menyambut Aidilfitri.

Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Nik Mat Nik Wan menerusi talian 01119253361 atau terus ke akaun Maybank bernombor 1562 0832 0862 (Nik Mat Nik Wan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN