AS, Israel diberi amaran jangan lancar serangan balas

AS, Israel diberi amaran jangan lancar serangan balas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran memberi amaran akan melancarkan serangan besar-besaran sekiranya Israel berhasrat melancarkan serangan balas.

Amaran itu dikeluarkan oleh Presiden Iran, Ebrahim Raisi mengenai tindak balas yang lebih jitu sekiranya rejim Zionis israel atau sekutunya melakukan tindakan melulu, lapor Al Jazeera.

Kenyataan Ebrahim senada dengan amaran yang dikeluarkan oleh Ketua Angkatan Tentera Iran, Jeneral Mejar Mohammad Bagheri yang memaklumkan tindak balas ‘lebih besar’ menanti Israel sekiranya bertindak balas terhadap Iran.

Mohammad berkata, serangan ratusan dron dan peluru berpandu terhadap Israel sudah mencapai sasaran ditetapkan dan beranggapan misi berkenaan sudah selesai serta tidak berhasrat meneruskannya lagi.

Sebelum serangan itu, Menteri Luar Iran, Amir Abdollahian berkata, Teheran sudah memaklumkan kepada Amerika Syarikat (AS) mengenai serangan yang dirancang 72 jam lebih awal.

Tegasnya, serangan berkenaan adalah demi mempertahankan diri selepas Israel menyerang pejabat konsulatnya di Damsyik, Syria sehingga mengorbankan tujuh pegawai tertinggi tentera, 1 April lalu

Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hossein Salami turut memberi amaran tindak balas Teheran terhadap sebarang serangan Israel yang akan menyasarkan aset, pegawai atau rakyatnya.

Serangan pertama Iran terhadap Israel itu bagaimanapun berjaya dipintas oleh Israel dan negara sekutu dengan menembak jatuh hampir kesemua peluru berpandu dan dron yang dilancarkan.

“Bermula sekarang, sekiranya berlaku apa-apa serangan terhadap kepentingan negara, kami akan melancarkan serangan dari Iran.

“AS perlu menjauhkan diri daripada konflik ini, kerana ini adalah isu antara Iran dan Israel,” tegasnya.

Di sebalik amaran itu, Israel pula dilaporkan mempertimbang kemungkinan rancangan tindak balas terhadap Iran untuk melancarkan serangan dengan beratus-ratus dron dan peluru berpandu.

Menteri Israel, Benny Gantz berkata, negara itu akan membayar ‘harga tepat’ dari Iran apabila tepat pada masanya.
Ketegangan antara Israel dan Iran memuncak sejak beberapa dekad lalu, dan sejak tercetusnya perang di Gaza.

Proksi Iran di rantau itu iaitu Hizbullah di Lubnan dan Houthi di Yaman pernah melancarkan serangan terhadap Israel dan sekutunya.

Serangan Sabtu lalu dan kemungkinan tindak balas Israel berisiko meletakkan dua musuh lama itu ke dalam kancah konfrontasi terbuka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya