SESUCI Lebaran yang dipopularkan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin disifatkan antara lagu yang wajib berkumandang sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri. Magis lagu malar segar itu sekelip mata membangkitkan suasana dan menambah kemeriahan sambutan lebaran.
Di sebalik melodi mengasyikkan, ditambah kemerduan vokal penyanyi tersohor negara, Sesuci lebaran menjadi antara naskhah teragung hasil sentuhan kreativiti Bapa Tradisional Malaysia, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah.
Lagu itu menjadi peninggalan berharga, sebuah legasi yang terus menerus diraikan sehingga ke hari ini. Enam tahun ketiadaan Pak Ngah, namun karya dan kreativitinya terus hidup melangkaui zaman.
Baru-baru penulis sempat berjumpa anak Allahyarham, Megat Mohd. Syahraini yang sekarang ini menggalas tanggungjawab meneruskan kelangsungan syarikat arwah, Pak Ngah Production.
Menyingkap sejarah penghasilan lagu bertaraf fenomena itu, masih segar dalam ingatan Megat betapa tinggi keyakinan arwah Pak Ngah terhadap keupayaan lagu tersebut untuk bertahan dan menjadi fenomena.
“Dulu, ketika lagu itu belum diterbitkan, arwah, seperti lagu-lagunya yang lain, selalu berulang kali memutarkan Sesuci Lebaran dan perdengarkan kepada kami ketika menaiki kenderaan. Bayangkan, dia akan putarkan berulang kali sepanjang perjalanan dari rumah kami di Segambut sampai ke studio yang terletak di Setapak.
“Besar harapan arwah terhadap lagu itu. Beliau dahulu memasang impian agar Sesuci Lebaran menjadi antara lagu malar segar yang sampai sekarang diputarkan seperti lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri malar segar lain.
“Terbukti, lagu itu masih diputarkan sampai ke hari ini. Impaknya besar kepada masyarakat. Ditambah pula dinyanyikan Siti Nurhaliza. Firasat arwah dahulu benar. Lagu ini mencipta fenomena dan kekal lamanya,” katanya.
Di sebalik kejayaan lagu berentak tradisional itu, ada pengorbanan yang Pak Ngah curahkan dalam menghasilkannya. Kata Megat, arwah bapanya berdedikasi dalam melakukan tugas.
Kesungguhan yang dicurahkan mungkin menjadi bayaran kepada penghasilan sebuah lagi Hari Raya Aidilfitri yang benar-benar berjaya.
“Bapa saya kalau buat lagu memang tak boleh diganggu. Dia akan habiskan kebanyakan masanya di studio. Dan dia bukan setiap masa berkarya.
“Dia pernah katakan kepada saya, dia tak minta banyak, satu dua lagunya menjadi malar segar sudah mencukupi. Dengan ketika Sesuci Lebaran menunggu masa untuk diterbitkan, dia meletakkan keyakinan itu pada lagu ini.
“Awal dulu, ketika dengar lagu ini terus terang saya menganggap ia lagu biasa seperti lagu Hari Raya lain. Namun selepas ia mencipta fenomena, kami adik beradik teruja dan sentiasa menunggu karya Hari Raya ayah yang seterusnya. Alhamdulillah, apa yang arwah mahukan tercapai menerusi Sesuci Lebaran,” kongsinya.
Kata Megat, lagu berkenaan masih meninggalkan kesan mendalam dan kekal mengingatkan keluarga kepada arwah lebih-lebih selepas ketiadaannya.
“Awal dulu, selepas beliau meninggal dunia, kami kalau boleh cuba elakkan daripada mendengar lagu-lagunya kerana akan menjadi sedih kerana teringatkan arwah. Tapi sukar untuk kami berbuat demikian kerana lagu itu tetap diputarkan di mana-mana.
“Lama-kelamaan, kami sekeluarga boleh menerima ketiadaan arwah. Tapi setiap kali mendengar lagunya, lebih-lebih lagi lagu Hari raya, tetap memberi kesan mendalam. Apatah lagi lagu Air Mata Syawal yang dalam ‘menangkap’ perasaan setiap pendengar,” jelasnya.
NOSTALGIA AIDILFITRI
Sebelum Sesuci Lebaran, Allahyarham Pak Ngah sudah mencipta beberapa lagu Hari Raya Aidilfitri dan antara yang dekat dengan pendengar adalah lagu Nostalgia Aidilfitri yang dinyanyikan Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan diterbitkan pada 1996.
Keindahan melodi hasil sentuhan kreativiti komposer dan penulis tersohor itu membuatkan lagu tersebut juga menjadi malar segar dan diputarkan sehingga ke hari ini.
Kata Megat, lagu tersebut pernah mencipta kontroversi di Indonesia apabila ia diciplak, diubah lirik dan digantikan dengan tajuk lain dan dinyanyikan penyanyi popular Indonesia, Iyeth Bustami.
“Arwah hanya menyedari perkara itu ketika secara tidak sengaja menonton video muzik lagu Laksmana Raja Di Laut nyanyian Iyeth. Lagu tersebut menjadi popular ketika itu dan mencipta kontroversi apabila hak milik melodinya direbut pengkarya-pengkarya di sana yang mendakwa lagu tersebut sebagai ciptaan mereka.
“Arwah ayah pada ketika itu menganggap peniruan melodi lagu Nostalgia Aidilfitri itu sebagai satu perkara yang perlu diperbesarkan. Malah beliau menyifatkan ia satu pencapaian kerana adanya pengkarya yang berminat menggunakan melodi lagu tersebut. Padanya, memadai lagu itu tidak dirosakkan.
“Secara kebetulan, Allahyarham selepas satu tahun kemudian bertemu Iyeth menerusi satu acara yang diadakan di Brunei. Iyeth ketika itu masih tidak kenal siapa pencipta asal melodi
Laksmana Raja Di Laut dan rancak turun naik mahkamah di Indonesia apabila ramai pihak yang mendakwa mereka sebagai pencipta asal melodi lagu berkenaan,” katanya.
Bercerita lanjut, kata Megat pertemuan antara Pak Ngah dan Iyeth di Brunei telah mendedahkan siapa sebenarnya pencipta melodi lagu berkenaan.
“Ayah menyantuni Iyeth, mengajak penyanyi itu ke Malaysia bagi menunjukkan segala bukti yang menunjukkan beliaulah yang sebenarnya mencipta melodi lagu itu menerusi penghasilan
Nostalgia Aidilfitri dan lagu latar pementasan sebuah teater yang dijayakannya pada tahun 1992.
“Air mata Iyeth tumpah sebaik sahaja mendengar lagu Nostalgia Aidilfitri disebabkan ia sebuah lagu Hari Raya yang menyentuh perasaannya.
“Pak Ngah selepas itu berulang alik ke Indonesia untuk menjadi saksi bahawa beliaulah pencipta asal melodi tersebut sekaligus menamatkan perang saman menyaman antara Iyeth dengan individu-individu yang mendakwa mereka pemilik asal melodi lagu berkenaan. Meskipun kes tersebut lama selesai, sampai sekarang masih ada pihak di Indonesia yang terus menerus mengaku merekalah pencipta melodi lagu itu,” ceritanya.
SAMBAL TELUR KEGEMARAN PAK NGAH
MENGENANG memori sambutan Hari Raya, ketika hayatnya, Pak Ngah seorang yang bersifat family man dan mementingkan ikatan kekeluargaan lebih-lebih ketika menyambut lebaran.
Kata Megat, menjadi rutin setiap kali lebaran sebelum ini, adik beradik komposer itu bersama seluruh keluarga mereka akan berkumpul di rumah Pak Ngah pada Syawal pertama.
“Ayah saya adalah anak lelaki tunggal, dan merupakan anak kedua daripada lima beradik. Jadi, setiap kali Hari Raya, rumah kami akan menjadi titik pertemuan saudara mara berkumpul.
“Malam sebelum Hari Raya juga tidak kurang meriah apabila semua adik beradik ayah saya akan berkumpul di rumah adik ayah saya di Damansara, bergotong royong memasak juadah yang kemudian diagih-agihkan dalam kalangan adik beradik mereka.
“Arwah memang rapat dengan adik beradiknya. Kemeriahan itu memang tak pernah pudar sebelum ini apabila semua berkumpul di rumah kami pada Hari Raya pertama,” kongsinya.
Kata Megat, antara juadah kegemaran Allahyarham Pak Ngah adalah Rendang Tok dan kuah kacang berisi perut.
“Tapi yang paling arwah gemarkan adalah sambal telur. Hari Raya atau tidak, setiap kali perayaan arwah akan minta adiknya untuk masakkan menu tersebut,” ujar Megat.
Megat akui ketiadaan arwah dan beberapa adik beradiknya yang lain yang juga telah pergi menghadap Ilahi sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kemeriahan Aidilfitri tahun ini.
“Adik beradik ayah saya pun sekarang tinggal berdua. Tentunya sambutan Hari Raya kami tidak semeriah dahulu.
“Apa pun saya tetap mengharapkan kemeriahan yang berkekalan. Takkan nak terus bersedih, Hari Raya tetap perlu disambut meriah, hidup juga perlu diteruskan.
“Saya bertuah kerana adanya ibu dan bapa saudara yang sentiasa menyokong dan menceriakan. Sikap mereka tak ubah seperti arwah ayah saya, yang sangat mementingkan ikatan kekeluargaan. Amalan itu diteruskan sampai ke generasi keluarga kami yang sekarang,” jelasnya.