PETALING JAYA: Trafik di lebuh raya utama menuju ke Kuala Lumpur sesak susulan orang ramai pulang dari kampung halaman selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
Menurut laman sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bergerak perlahan dari Karak ke Bukit Tinggi sejak jam 10.14 pagi tadi.
“Trafik arah barat dilapor perlahan di Plaza Tol Bentong dan juga di Plaza Tol Kuala Terengganu arah Kuala Lumpur.
“Trafik di km 55.5 Bentong turut dilapor perlahan dan juga di Plaza Tol Gombak menghala ke Kuala Lumpur,” katanya dalam laman sosial mereka.
Sementara itu, LLM melaporkan, trafik perlahan di arah utara di R&R Ayer Keroh ke Simpang Ampat, Hentian Bemban ke Ayer Keroh dan juga Hentian Tangkak ke Jasin.
Laluan smart lane juga diaktifkan di Lebuh raya Plus (E2) Ayer Keroh – Hentian Bemban bermula km 194.5 hingga km 184.0 arah selatan bagi mengelakkan aliran trafik perlahan.-UTUSAN