Akibat Honda City menghimpit, Proton Waja terbabas

Akibat Honda City menghimpit, Proton Waja terbabas

TANGKAP layar menunjukkan berlaku himpit menghimpit antara Proton Waja dan Honda City dalam kejadian di Kilometer 49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemandu dan penumpang sebuah kereta cedera setelah kenderaan dinaiki terbabas dan terbalik selepas dihimpit sebuah Honda City di Kilometer 49.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dekat sini, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nasri Omar berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 pagi membabitkan dua buah kereta jenis Proton Waja dan Honda City. 

Katanya, siasatan lanjut mendapati Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju Kedah manakala Honda City dari Temerloh menuju Shah Alam.

“Setibanya di lokasi kejadian, Honda City terbabit dipercayai dipandu dengan cuai selain bertindak menghimpit dan menekan brek sehingga menyebabkan pemandu Proton Waja itu gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas.

“Akibat kejadian, dua individu iaitu pemandu dan penumpang Proton Waja berusia antara 30-an hingga 50-an cedera di bahagian kepala dan tangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini. 

Mohd. Nasri berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hari ini tular video di media sosial kemalangan melibatkan sebuah kenderaan setelah dipercayai dihimpit sebuah kenderaan lain.

Video tular berdurasi satu minit 41 saat itu memaparkan kejadian bermula apabila Proton Waja terlibat dipercayai menukar dari lorong kiri ke lorong kanan.

Honda City dari arah belakang dipandu seorang lelaki dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Proton Waja itu kemudiannya mengekori rapat sebelum berlaku kejadian himpit menghimpit antara kedua-duanya.

Akibat daripada itu, Proton Waja hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 49.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN