BAGAN DATUK: Kehadiran Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut sederhana oleh keluarga penyanyi Allahyarham M. Daud Kilau selepas penyanyi veteran itu meninggal dunia pada usia 85 tahun 18 Disember lalu.
Anak penyanyi itu, Ahmad Zaini Mohd. Daud, 53, berkata, mereka sekeluarga masih bersedih atas pemergian penyanyi itu yang meninggal dunia akibat pelbagai masalah kesihatan.
Katanya, sambutan Aidilfitri kali ini sudah tentu sepi tanpa orang tuanya.
“Memang rasa sunyi sejak bapa pergi meninggalkan kami. Sudah lebih 100 hari ayah pergi buat selama-lamanya, kami amat terasa ketiadaannya apatah lagi sayalah yang membawanya ke mana sahaja Allahyarham hendak pergi terutama jika ada persembahan nyanyian.
“Apabila dengar lagu raya yang ayah nyanyikan, saya rasa sebak, tak sedar air mata mengalir kerana ini pertama kali raya sambut tanpa orang yang disayangi. Koleksi baju labuci bapa jadi kenangan buat saya selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, banyak kenangan berhari raya bersama bapanya terutama ketika membuat persiapan menjelang 1 Syawal.
Katanya, biasanya setiap kali menjelang Aidilfitri, dia bersama bapanya membeli baju raya dan bahan keperluan untuk memasak juadah hari raya.
“Air mata saya payah nak keluar tapi apabila dengar lagu raya yang ayah nyanyikan, saya sedih dan menitiskan air mata. Saya masih ingat makanan kegemaran bapa ialah daging rendang yang biasanya kami jamah bersama-sama di pagi raya.
“Jika ayah masih ada, dia berhasrat nak membuat rakaman lagu raya. Sebelum ini ayah memang ada merakamkan lagi raya bertajuk Seloka Hari Raya dan Selamat Hari Raya,” katanya.
Menurutnya, dia sebak kerana selepas bapanya meninggal dunia, masih ramai saudara mara dan peminat Allahyarham yang datang ke rumahnya.
Katanya, ada antara mereka yang mengunjungi kubur bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Balai Baroh di sini.
“Saya terharu kerana ramai yang masih mengingati bapa dan mereka menziarah pusara ayah untuk hilangkan rasa rindu,” katanya. – UTUSAN