Aidilfitri: Grantt Lubricants tawar pemeriksaan percuma

Aidilfitri: Grantt Lubricants tawar pemeriksaan percuma

ANAS Nasrun Mohd. Osman (tengah) bersama Pengurus Besar UMW Grantt Lubricants, Iskandar Mohamed Salleh (kiri) menyantuni pengguna jalan raya sempena kempen keselamatan jalan raya di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan), semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengeluar dan pe­ngedar minyak pelincir, UMW Grantt International Sdn. Bhd. (Grantt) dan Grantt Lubricants mengambil inisiatif melaksanakan kempen keselamatan jalan raya bersempena sambutan Hari Raya Adilifitri di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan), di sini semalam.

Pengarah Pembuatan & Kejuruteraan UMW, Anas Nasrun Mohd. Osman berkata, kempen yang julung kali diadakan sempena perayaan itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat pihaknya untuk mendidik ma­syarakat bagi memastikan kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan baik.

Menurut beliau, langkah pen­jagaan kenderaan amat pen­ting terutamanya membabitkan peng­guna jalan raya yang akan membuat perjalanan jauh pulang ke kampung halaman sempena perayaan.

“Oleh itu, tahun ini kami anjurkan kempen ini yang bukan hanya bagi memperkenalkan produk minyak enjin kendera­an berkualiti buatan rakyat Ma­laysia ini kepada pengguna jalan raya bahkan turut menawarkan khidmat pemeriksaan kende­raan dan tayar secara percuma.

“Melalui kempen ini juga, kami turut menyampaikan na­sihat kepada pengguna untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi undang-undang bagi kelancaran perjalanan pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui sempena kempen berkenaan di RnR Seremban Lebuhraya Utara Selatan (Arah Selatan), di sini semalam.

Dalam pada itu, Anas Nasrun memberitahu, pemeriksaan ken­deraan dan rundingan penye­lenggaraan secara percuma kepada pengguna itu turut diadakan dengan kerjasama Maxipura Sdn. Bhd.

“Ini selaras dengan slogan dan janji Grantt Lubricant untuk membantu kenderaan pengguna untuk ‘Bergerak Lebih Jauh, Tahan Lebih Lama’,” katanya sambil memaklumkan program selama empat jam itu juga turut diselitkan dengan inisiatif mengedarkan sebanyak 2,500 beg cenderamata kepada pengguna jalan raya.

Menurutnya, beg cenderamata tersebut berisi makanan dan minuman untuk dibawa pulang ke kampung halaman mahupun sebagai hidangan semasa berbuka puasa sekiranya tidak sempat sampai ke destinasi.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk memberi impak positif kepada komuniti setempat. Kami mengutamakan kepentingan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya semasa sambutan kebudayaan yang penting seperti Aidilfitri,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk mengetahui maklumat lanjut berkaitan Grantt Lubricants dan inisiatif CSR syarikat berkenaan boleh melawati laman web www.granttlubricants.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN